Home Semasa COVID-19: 958 kes baharu, 3 kematian dicatatkan

COVID-19: 958 kes baharu, 3 kematian dicatatkan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 958 kes baharu hari ini, dengan 512 kes positif dicatatkan di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima (5) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 953 kes adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara.

“3 negeri yang mencatatkan kes tertinggi pada hari ini adalah Sabah iaitu sebanyak 512 kes, diikuti Selangor dan Negeri Sembilan yang masing-masing melaporkan sebanyak 153 kes,

“Pelaporan kes positif COVID-19 yang tinggi di Sabah berpunca daripada pertambahan kes bagi kluster-kluster terutamanya Kluster Sabaru (149 kes) dan peningkatan pengesanan kes dalam kalangan saringan kontak rapat (196 kes),

“Manakala, Selangor dan Negeri Sembilan pula mencatatkan jumlah kes yang tinggi pada hari ini disebabkan oleh pertambahan kes dalam kluster-kluster sedia ada dan juga kluster baharu,” kata Dr Noor Hisham dalam sidang media harian berkenaan perkembangan COVID-19, pada hari ini.

Tambahnya, sebanyak 31 kes yang dilaporkan pada hari ini pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok (24 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), Kluster Rumah Merah (2 kes), Kluster Penjara Sandakan (1 kes) dan Kluster Penjara Kepayan (1 kes).

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 956 pesakit telah disahkan sembuh pada hari ini dan ia menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 39,088 kes.

“Sehingga kini, terdapat 110 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 42 kes memerlukan bantuan pernafasan,

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga (3) kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 329 kes,

“Kes kematian tersebut melibatkan seorang pesakit wanita dan 2 orang pesakit lelaki yang berumur 32 hingga 64 tahun. Kesemua kes kematian tersebut dicatatkan di Sabah” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan, terdapat 5 kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 167 kluster.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 47 kluster melaporkan pertambahan kes,

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Sabaru (149 kes), Kluster Hentian (107 kes), dan Kluster Perigi (50 kes),

“Ingin dimaklumkan bahawa sebanyak 3 kluster telah tamat iaitu Kluster Seri Setia, Kluster Bina, dan Kluster Bah Bundle. Ini menjadikan jumlah kluster tamat adalah sebanyak 157 kluster,” ujarnya. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply