SUBANG, 5 Nov – Pangkalan Udara Subang dikenakan Perintah Kawalan Pangkalan Diperketat (PKPD) bermula tengah malam ini.
Menurut sumber, PKPD dikenakan di pangkalan tersebut berikut terdapat kes jangkitan COVID-19 dikalangan anggota tentera dan ahli keluarga.
“PKPD akan bermula pada tengah malam ini sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak,
“Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dikeluarkan kepada semua warga pangkalan dimana aktiviti keagamaan, sosial dan rekreasi secara berkumpulan tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau menambah pergerakan keluar masuk pangkalan diperketatkan dimana pelawat dikehendaki mengambil suhu dan menjalani proses sanitasi.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kluster baharu iaitu Kluster Aero yang melibatkan daerah Petaling di Selangor.
“Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-35,186 telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan kontak rapat pada 3 November lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,
“Saringan kontak rapat yang seterusnya telah mengesan sebanyak 10 lagi kes positif COVID-19,
“Sehingga 4 November jam 12 tengah hari semalam, sejumlah 95 individu telah disaring, di mana 11 kes dikesan positif COVID-19 dan 84 individu dikesan negatif,” katanya. – airtimes.my