KUALA LUMPUR, 6 Nov – Seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 2 tekong ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) semalam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, operasi bersepadu yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi penguatkuasa lain turut berjaya merampas 9 kenderaan darat dalam operasi tersebut.
Ismail Sabri berkata, sebanyak 277 sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng telah dijalankan semalam, di mana 149 SJR melibatkan PDRM, ATM (119 SJR) dan AKSEM (9 SJR).
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, beliau menjelaskan pasukan Task Force Operasi Pemantauan yang diketuai PDRM turut menahan 456 individu telah ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.
“Daripada jumlah itu, seramai 455 individu telah dikompaun dan 1 telah dijamin,
“Antara kesalahan ingkar PKPP termasuklah mereka yang tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri, tidak melakukan penjarakan fizikal dan premis beroperasi lebih masa serta lain-lain kesalahan,” jelasnya. – airtimes.my