Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara TUDM terbangkan jenazah mangsa insiden Dayang Topaz ke Subang

TUDM terbangkan jenazah mangsa insiden Dayang Topaz ke Subang

by Air Times News Network

SUBANG, 31 Okt – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan Body Evacuation (BODEVAC) membawa jenazah mangsa yang terkorban dalam insiden kapal Dayang Topaz yang karam di 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri, Sarawak pada Selasa lepas.

TUDM dalam hantaran media sosial rasminya berkata, pesawat pengangkut C-130H dari No 20 Skuadron, Pangkalan Udara Subang telah membawa jenazah mediang Aaron Michael, 34, dari Lapangan Terbang Miri ke Pangkalan Udara Subang.

“Pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Miri pada jam 6.39 petang telah selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang pada jam 9.25 malam tadi,

“Penerbangan yang mengambil masa lebih kurang 2 jam 40 minit itu diketuai oleh Mejar Mohd Aliff Samshuddin TUDM dan dibantu oleh Kapten Mohd Shahril Amin Dzulkefli TUDM selaku pembantu juruterbang,” katanya.

Turut terlibat jurutera penerbangan, Mejar Mohammad Yusof Baydowi TUDM; jurumalim, Kapten Muhammad Firdaus Mohd Zaini TUDM serta 3 orang krew.

Menurut TUDM, jenazah mendiang kemudiannya telah diuruskan untuk dibawa ke rumah ibu bapanya di Kampung LBJ, Negeri Sembilan untuk upacara penghormatan terakhir.

Dalam kejadian Selasa lepas, kapal itu berlanggar dengan struktur pelantar berikutan kabel sauhnya terputus semasa cuaca buruk melanda.

Kapal itu, yang dimiliki anak syarikat milik penuh Dayang Enterprise Holdings Bhd, DESB Marine Services, sedang menjalankan kerja-kerja operasi di platform Baram untuk Petronas Carigali Sdn Bhd. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply