BRASILIA, 24 Okt – Jet pejuang terbaharu Brazil, F-39E Gripen telah dipamerkan buat pertama kalinya di negara Amerika Latin itu.
Menurut siaran media oleh SAAB, jet pejuang tersebut telah dipamerkan bersempena Hari Tentera Udara Brazil di Brasilia.
F-39E merupakan sebahagian daripada perolehan 36 buah jet pejuang Gripen E/F oleh Brazil pada tahun 2014.
Perolehan tersebut melibatkan sebanyak 28 buah Gripen E dan 8 buah Gripen F.
Selain itu, Brazil akan melakukan melakukan pemasangan secara tempatan untuk 15 buah pesawat mulai tahun 2021.
“Jet pejuang ini merupakan hasil kejayaan kerjasama antara Brazil dan Sweden yang sekaligus mempertingkatkan hubungan kedua-dua negara,” kata Presiden dan Ketua Pengarah SAAB, Micael Johansson.
Menurut beliau, kehadiran F-39E dalam temasya utama Brazil adalah satu penghormatan besar bagi pihaknya.
Jet pejuang pertama tersebut tiba di Brazil pada 20 September lalu sebelum menjalani ujian penerbangan yang merangkumi ujian kawalan pesawat serta prestasi dalam iklim tropika.
Selain itu, antara ujian yang dijalankan adalah integrasi persenjataan dan sistem komunikasi Link BR2.
F-39E merupakan jet pejuang Gripen E yang disesuaikan dengan keperluan Brazil. Tentera udara negara itu akan menerima pesawat pertama pada tahun 2021. – airtimes.my