KUALA LUMPUR, 23 Okt – Tindakan kerajaan yang sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan langkah darurat adalah hanya untuk menyekat perjalanan proses Parlimen, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau dalam kenyataan berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal menonjolkan kepimpinan yang berkualiti saat wabak, malah telah mengambil langkah yang mencurangi demokrasi untuk terus berkuasa.
“Hari ini, kita mempunyai kerajaan yang tidak kukuh dan gagal untuk menunjukkan sokongan majoriti dalam Parlimen dan menggunakan isu krisis pandemik COVID-19 sebagai alasan untuk terus kekal berkuasa,
“Pengisytiharan darurat hanya dilakukan bilamana terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara,
“Tetapi apabila kerajaan itu sendiri yang menjadi punca pada keselamatan, maka langkah darurat ternyata suatu langkah kebelakang yang akan memungkinkan kediktatoran,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menimbang semula keputusan tersebut kerana ia ternyata suatu keputusan yang pendek akal dan pentingkan diri sendiri.
“Dengan langkah ini, maka kerajaan PN yang tidak ada keabsahan ini telah menonjolkan kelemahan mereka dalam menangani wabak pandemik COVID-19 dan kemelut ekonomi yang kita hadapi sekarang,
“Negara-negara di rantau ini sedang memikirkan pelbagai cara bagi menangani wabak dan benarkan aktiviti ekonomi untuk bergerak, namun Malaysia sedang bergerak kebelakang,
“Kita masih belum mengetahui apa strategi kerajaan dalam mengemudi krisis ini, tetapi apa yang terpamer adalah pemerintahan merasakan strategi ampuh untuk melwan dampak wabak adalah dengan melemahkan demokrasi,
“Apa yang kita perlu dalam mendepani wabak ini adalah ketulusan, kebertanggungjawaban dan dasar yang jelas oleh pelbagai kementerian,” tambahnya.
Pagi tadi, mesyuarat khas kabinet di Putrajaya dilaporkan bersetuju dengan pelaksanaan “darurat” bagi menangani COVID-19.
Muhyiddin dipercayai baru selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Kuantan. –airtimes.my