Home Politik Undang-undang mana yang boleh tangguh pilihan raya? – Annuar Musa

Undang-undang mana yang boleh tangguh pilihan raya? – Annuar Musa

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menegaskan soal pilihan raya perlu diketepikan bagi memastikan nyawa rakyat terus selamat dari ancaman wabak COVID-19.

Beliau turut memberikan gambaran sekiranya politik menjadi keutamaan ketika wabak membawa maut itu masih bermaharajalela dalam komuniti.

“Kini beribu rakyat di hospital, beribu frontliners dan anggota keselamatan terpaksa menjalani kuarantin,

“Bagaimana agaknya kalau dlm tempoh dua tiga bulan ini kita mendahulukan perebutan kuasa politik demi demokrasi di saat rakyat sedang bertarung nyawa dgn ancaman COVID-19,

“Kuasa apa dan undang undang undang mana boleh kita tangguh perebutan kuasa ini?

“Demi mendahulukan demokrasi dan takut dituduh macam-macam oleh pembangkang, kita biarkan saja berlaku pilihanraya di sana sini, nyawa rakyat serah pada takdir,” ujar Annuar.

Beliau menyatakan perkara tersebut ketika melontarkan persoalan dalam hantaran di akaun media sosialnya berhubung beberapa senario politik tanah air.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi wajib diadakan dalam tempoh 60 hari dari kekosongan tetapi rakyat minta ia di tangguhkan dan pegawai takut untuk ke zon merah,

“Tempoh Dewan Undangan Negeri Sarawak tamat beberapa bulan lagi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) wajib di adakan,

“Namun semua orang takut apa yang berlaku di Sabah dan mereka minta PRN ditangguh dulu,” katanya.

Annuar menambah, rakyat tidak mahu berlakunya pembubaran parlimen dan Pilihan Raya Umum (PRU) atas sebab yang sama.

“Pelbagai pihak mengugut mahu menjatuhkan Perdana Menteri melalui sidang parlimen bulan depan,

“Jika itu berlaku, PM boleh bubarkan parlimen dan PRU perlu di adakan. Tetapi rakyat tidak mahu pilihanraya diadakan kerana takut merebaknya COVID-19,

“Undang-undang (yang) mana boleh dipakai untuk menangguh pilihanraya supaya dapat memastikan COVID-19 terkawal dan tidak mengancam nyawa rakyat,” tegasnya.

PRK Batu Sapi akan diadakan pada 5 Disember ini berikutan kematian Datuk Liew Vui Keong.

Sarawak bakal mengadakan PRN dalam masa terdekat berikutan tempoh DUN akan tamat pada Jun tahun hadapan.

Hantaran oleh Annuar Musa sekaligus memperkuatkan lagi spekulasi bahawa darurat akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Pada ketika ini, Malaysia sedang menghadapi gelombang ketiga wabak COVID-19 dengan pertambahan kes secara mendadak semenjak awal Oktober lalu.

Dalam perutusan khas pada 6 Oktober lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperakui PRN Sabah menjadi antara punca peningkatan kes COVID-19 dalam negara.

Sehingga semalam, Sabah mencatatkan jumlah kes COVID-19 sebanyak 10,396 kes. Angka tersebut menjadi negeri terjejas teruk dilanda wabak pandemik itu selepas PRN diadakan pada bulan lalu.

Jumlah kes jangkitan COVID-19 dalam negara ini adalah sebanyak 24,514 kes dengan melibatkan kematian seramai 214 pesakit.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan bilangan kes aktif telah meningkat 8,416 kes. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply