Home Politik Ahli politik, sila bersikap matang – Agong

Ahli politik, sila bersikap matang – Agong

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah, menitahkan semua Ahli Parlimen untuk bersama bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu ketika kita semua masih berhadapan dengan wabak COVID-19,

Baginda bertitah, negara kini berhadapan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak COVID-19.

Yang di-Pertuan Agong mengulangi titah nasihat baginda ketika Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada bulan Mei lalu, agar kesemua Ahli Parlimen untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.

Titah baginda, ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan tetapi sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, baginda menitahkan kesemua masjid di seluruh negara, mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah SWT agar penularan wabak COVID-19 di negara ini, dapat dibanteras dengan berkesan dan segera.

Seri Paduka Baginda bertitah berikutan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah, Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya sehingga 29 Oktober ini serta kewujudan beberapa kluster baharu di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Labuan.

“Baginda turut menasihati seluruh rakyat terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi penularan COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara,

“Mengambil keberkatan sempena Jumaat yang mulia ini, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat berdoa semoga negara yang kita cintai bersama ini, dikurniakan keamanan dan ketenangan agar kemakmuran dan kesejahteraan negara serta rakyat sentiasa terjamin,” titah kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, hari ini. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?