Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Leftenan Faiz terpilih Penuntut Terbaik Kursus Asas Penerbangan TUDM

Leftenan Faiz terpilih Penuntut Terbaik Kursus Asas Penerbangan TUDM

by Air Times News Network

ALOR STAR, 10 Okt – Anak jati Ipoh, Leftenan Mohamad Faiz Hazmi TUDM, telah dinobatkan sebagai Penuntut Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku bagi Kursus Asas Penerbangan Siri 81/18.

Beliau yang merupakan graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal telah dianugerahkan Piala Panglima Tentera Udara semasa Majlis Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 81/18 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 60/18, semalam.

Anugerah telah disampaikan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM.

Mohamad Faiz merupakan antara 38 pelatih yang berjaya menamatkan Kursus Asas Penerbangan Siri 81/18 selama 2 tahun.

Majlis penganugerahan disempurnakan oleh Ackbal di Dewan Aeroangkasa, Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas, Kedah.

Acara ini melibatkan 33 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), 3 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 2 dari Tentera Darat Malaysia (TDM) yang telah berjaya menamatkan kursus masing-masing.

Kursus Asas Penerbangan Siri 81/18 bermula pada bulan September 2018, manakala Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 60/18 pula November 2018.

Mereka terdiri daripada 8 orang calon juruterbang pesawat pejuang, 15 orang calon juruterbang pesawat angkut dan 15 orang juruterbang helikopter yang bakal berkhidmat di dalam ketiga-tiga cabang ATM.

Ackbal dalam ucapannya berkata, setiap juruterbang harus bersifat berkemampuan dan memliki kepakaran dalam mengendalikan aset-aset yang serba moden serta berteknologi tinggi untuk menghadapi peperangan udara pada zaman moden ini.

“Faktor ini selari dengan pelan rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55) dengan perancangan perolehan aset-aset baharu demi memastikan TUDM sebagai angkatan udara yang kekal berupaya dan bersiapsiaga mempertahankan kedaulatan ruang udara negara,

“Selain itu, ia adalah bagi menjamin TUDM sebagai kuasa udara yang unggul,” tegasnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua juruterbang kerana berjaya menamatkan kursus masing-masing.

“Hari ini menjadi saksi detik bersejarah kerana segala pengorbanan dan curahan tenaga serta keringat selama ini telah terbukti,

“Namun masih banyak dugaan dan suasana yang berbeza serta lebih mencabar bakal ditempuhi di masa hadapan sebagai juruterbang operasi yang berstatus ‘combat ready’,

“Semua juruterbang harus menghadapi segala kegigihan, ketabahan, disiplin dan semangat juang yang tinggi bagi memelihara kedaulatan negara,” tambahnya.

Sementara itu, Leftenan Mohamad Izzat Rusli TUDM, dari Kemaman Terengganu telah dianugerahkan Piala Nuri iaitu Terbaik Keseluruhan Helikopter. Beliau juga merupakan graduan UPNM dalam jurusan Sains Komputer Pertahanan.

Bagi Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Terbaik Akademik) pula telah dianugerahkan kepada Leftenan Sanggethiran A/L Ganesan TUDM yang berasal dari Kuala Lumpur.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Salleh Osman TUDM dan Pegawai-Pegawai kanan TUDM. – airtimes.my

Geleri Gambar:

Related Articles

Leave a Reply