Home Pertahanan dan Keselamatan ATM turun padang gempur gelombang ketiga COVID-19

ATM turun padang gempur gelombang ketiga COVID-19

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pertingkatkan usaha untuk membantu kerajaan dalam memutuskan penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, ATM akan sentiasa bersiap sedia membantu negara melalui kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), agensi-agensi penguatkuasaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menghadapi gelombang ketiga wabak membawa maut itu.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (Mk ATM) dalam kenyataan berkata, seramai 1,140 anggota dari Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah diaturgerak bagi membantu pihak berkuasa dalam Op Penawar.

“Anggota ATM telah membantu pihak berkuasa dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersyarat (PKPDB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk penugasan Sekatan Jalan Raya (SJR) serta rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV),

“Mereka juga membantu pihak berkuasa dalam meningkatkan aspek kawalan seperti pemasangan concertina wire di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi seperti di Kunak dan Semporna,

“Selain itu, ATM turut membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pelaksanaan Task Force Operasi Pematuhan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP yang telah ditetapkan,” jelas kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Panglima Angkatan Tentera turut menjelaskan TDM telah menambah seramai 40 anggotanya untuk ditugaskan di kawasan zon merah di Mukim Klang berikutan pelaksanaan PKPB di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Operasi Benteng (Op Benteng), secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi-agensi penguatkuasaan serta keselamatan yang lain diteruskan untuk memperkukuhkan kawalan sempadan terutama di Pantai Timur Sabah.

“Penguatkuasaan dipertingkatkan bagi mengekang kemasukan PATI dari negara jiran. Ini juga termasuklah memperkasakan kerjasama kawalan persempadanan di bawah tanggungjawab Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” tambahnya.

Dalam kerjasama dengan KKM, ATM melalui Kor Kesihatan Diraja (KKD) telah menyediakan Penasihat Teknikal, Pakar Perubatan, Pegawai Perubatan, Pergigian serta Paramedik Tentera di Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

“KKD juga menyediakan pasukan aturgerak aset perubatan medan seperti Pos-pos Rawatan dan Hospital Medan bagi menyokong pengoperasian KKM dalam menangani wabak COVID-19 ini,” jelasnya.

Pada masa yang sama, TUDM turut melaksanakan misi penerbangan khas untuk membawa peralatan perubatan, PPE, sampel RT dengan menggunakan pesawat pengangkut A400M dari No 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang.

“Penerbangan ini merupakan kerjasama KKM dan ATM bagi menyalurkan bantuan serta barangan perubatan dalam misi mengekang Penularan Wabak COVID-19 ini,” ujarnya.

ATM telah terlibat secara langsung dalam usaha memerangi wabak COVID-19 semenjak awal tahun 2020.

Pada ketika ini, Malaysia sedang menghadapi gelombang ketiga wabak berkenaan berikutan peningkatan kes secara mendadak semenjak akhir September.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah pada 9 Oktober lalu mengesahkan trend jangkitan terkini dalam negara.

Sehingga 9 Oktober, seramai 14,722 rakyat Malaysia telah disahkan menghidap COVID-19. Wabak itu turut meragut 152 nyawa. Selain itu, 10,707 pesakit telah disahkan sembuh. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply