KUALA LUMPUR, 7 Okt – Semua sekolah di daerah Klang, Selangor serta di daerah Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah akan ditutup bermula esok hingga 23 Oktober 2020.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, hampir 400 sekolah ditutup berikutan peningkatan kes COVID-19 di semua daerah itu.
“Ini melibatkan sebanyak 142 buah sekolah di daerah Klang dan 242 buah sekolah keseluruhan di 3 daerah di Sabah,
“Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM,
“Manakala, sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, bagi sekolah yang sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekolah terlibat boleh menjadualkan semula peperiksaan ini ke suatu tarikh yang bersesuaian kelak.
“Sepanjang tempoh penutupan sekolah ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid,
“Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang,
“Murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada 2 di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama,
“Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah,” tambahnya.
Pada masa yang sama, KPM menegaskan, pihaknya akan sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah-daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa,” ujarnya. -airtimes.my