Home Semasa Kluster Sivagangga: Tiada larangan pergerakan di seluruh negeri Kedah, Perlis

Kluster Sivagangga: Tiada larangan pergerakan di seluruh negeri Kedah, Perlis

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 10 Ogos – Kerajaan belum bercadang untuk menguatkuasakan larangan kawalan pergerakan di seluruh negeri Kedah dan Perlis ekoran pengesanan kluster Sivagangga di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri sebaliknya berkata, kerajaan hanya melaksanakan kawalan pergerakan secara bersasar di kawasan yang terlibat sahaja.

“Kita (Kerajaan) tidak lagi mengehadkan pergerakan di seluruh negeri. Seperti yang saya katakan tadi, kita berfokus atau bersasar,

“Kawasan itu yang ada kes positif, (maka) kawasan disitu yang kita akan sekat dari segi pergerakan. Mereka tidak boleh keluar daripada kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) secara pentadbiran yang kita laksanakan,

“Bukan (larangan pergerakan) seluruh negeri Kedah dan Perlis,” katanya dalam sidang media, di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu dalam sidang media yang sama, Ismail Sabri menjelaskan kerajaan telah membuat keputusan untuk melaksanakan PKPD Bersasar secara pentadbiran (TEMCO) di dua kampung di Perlis, bermula hari ini (10 Ogos) sehingga 31 Ogos 2020.

Beliau berkata 2 kampung tersebut membabitkan Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul yang melibatkan 191 buah rumah dengan 872 orang penduduk.

“Pelaksanaan TEMCO akan mengguna pakai SOP sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan beberapa ‘cut off’ jalan raya,

“Pergerakan keluar masuk oleh penduduk setempat atau penduduk dari luar kawasan TEMCO adalah dilarang,

“Manakala premis perniagaan di bawah perkhidmatan essential dibenarkan beroperasi di dalam kawasan TEMCO dan masa operasi dihadkan dari jam 8 pagi sehingga 6 petang,” tambahnya.

Ismail Sabri juga berkata, petugas Kementerian Kesihatan akan melakukan ujian saringan COVID-19 ke atas semua penduduk yang terlibat di dalam kawasan berkenaan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply