KUALA LUMPUR, 30 Julai – UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional, sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan berkata sokongan kepada kerajaan PN hanya berlandaskan kepada sokongan Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam pembentukan kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu.
Zahid turut menjelaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhasrat untuk membawa Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) menyertai MN dalam pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen BN di bangunan Parlimen, semalam.
“Hasrat PPBM ini akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi,
“Jawatankuasa Induk MN sebelum ini telah memutuskan untuk UMNO dan PAS memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, beliau menyerahkan kepada Jawatankuasa Induk MN untuk mempertimbangkan hasrat PPBM sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara.
Kerajaan PN ditubuhkan bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang runtuh pada 24 Februari lalu.
Proses pengambilalihan kerajaan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mendapat sokongan ahli Parlimen daripada Bersatu, UMNO, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain. -airtimes.my