Home Semasa Kerajaan Perikatan Nasional sentiasa tegakkan prinsip kedaulatan undang-undang – Muhyiddin

Kerajaan Perikatan Nasional sentiasa tegakkan prinsip kedaulatan undang-undang – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kerajaan menghormati keputusan mahkamah yang mensabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap semua 7 pertuduhan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa yang sama menggesa semua pihak agar terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi yang bebas dan berkecuali.

“Saya memahami perasaan dan sentimen rakan-rakan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

“Namun begitu, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Muhyiddin berkata kerajaan turut menghormati hak Najib untuk merayu atas hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

“Sama-samalah kita beri ruang kepada proses undang-undang untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM 210 juta terhadap bekas perdana menteri itu selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan RM 42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan terhadap Najib.

Dalam kes tersebut, Najib berhadapan 7 pertuduhan termasuk salah guna kuasa, pecah amanah dan gubahan wang haram. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply