Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: APMM tahan 14 PATI, 5 bot nelayan di perairan negara

Op Benteng: APMM tahan 14 PATI, 5 bot nelayan di perairan negara

by Nurulhuda

LUMUT, 29 Julai – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama 5 bot nelayan tempatan disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen dalam tempoh 4 hari bermula 22 Julai hingga 26 Julai lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, sebuah bot nelayan tempatan Kelas C ditahan ditahan oleh Kapal Maritim Nyalau di kedudukan kira-kira 3.1 batu nautika Barat Pulau Jarak pada jam 6.30 petang 22 Julai.

Manakala sebuah bot nelayan tempatan Kelas B (Pukat Tunda) pula ditahan oleh Kapal Maritim Malawali lebih kurang pada kedudukan 0.9 batu nautika Barat Daya Pulau Jarak pada pagi Sabtu lepas.

Shahrizan berkata, pada 26 Julai pula, menerusi maklumat yang diterima dari ‘National Task Force’ , Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia telah menahan tiga buah bot nelayan Kelas A kerana disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan tanpa permit di kawasan Sungai Tiang, Perak.

“Setelah diperiksa kelima – lima bot tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1986 dan Akta Imigresen 1959 / 63,

“Kesemua kru ditahan terdiri daripada warganegara asing iaitu seorang Thailand, 7 Myanmar dan 6 Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,

“Bot beserta tekong dan awak-awak diiring masuk ke Pusat Tahanan Vessel (PTV) Kampung Bharu Lumut, bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi APMM. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply