Home Semasa COVID-19: Pemilik kedai makan langgar perintah kuarantin punca pembentukan kluster baharu di Kedah

COVID-19: Pemilik kedai makan langgar perintah kuarantin punca pembentukan kluster baharu di Kedah

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 28 Jul – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan salah satu daripada 2 kluster baharu yang dikesan adalah berpunca daripada pelanggaran perintah kuarantin rumah.

Kluster baharu yang dikesan pada hari ini adalah Kluster PUI Sivagangga India dan Kluster Satok.

“Kes indeks Kluster PUI Sivagangga adalah seorang pemastautin tetap yang pulang dari India pada 13 Julai lalu dan keputusan saringan COVID-19 terhadap beliau di Pintu Masuk Antarabangsa  KLIA adalah negatif,

“Beliau telah menjalani Perintah Pengawasan dan Permehatian di Rumah namun didapati tidak mematuhi syarat perintah tersebut,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, pesakit terbabit telah diambil tindakan dan telah disahkan positif COVID-19 ketika menjalani saringan ulangan.

“Beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Sehingga kini, seramai 28 kontak rapat disaring dengan 5 orang daripadanya telah disahkan menghidap  wabak itu,” katanya.

Jelas Noor Hisham, 5 pesakit lain adalah terdiri daripada 4 orang pekerja asing di kedai makan milik pesakit indeks dan seorang ahli keluarga.

Beliau menambah, kesemua kes postif dari kluster ini adalah berkongsi tempat kediaman dengan kes indeks.

“Premis yang dikenalpasti telah ditutup baig proses pembersihan dan nyah kuman,” ujarnya.

Sementara itu, 4 peniaga dari kluster Satok telah dikesan menghidap wabak COVID-19.

“Kluster ini dikesan di sebuah pasar di Satok dan saringan COVID-19 telah dijalankan di lokasi terbabit,

“Seramai 229 orang peniaga telah disaring dengan 4 daripadanya didapati positif,” jels Noor Hisham.

Beliau menambah, kesemua kes positif dari kluster Satok adalah tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan.

Hari ini, Malaysia telah mencatatkan 39 kes jangkitan dengan 11 daripadanya merupakan kes import dan 28 lagi adalah penularan tempatan. 7 pesakit telah disahkan pulih dan dibenarkan pulang.

Selain itu, seorang pesakit sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian dicatatkan.

Sehingga kini, COVID-19 telah meragut 124 nyawa di negara ini. Jumlah keseluruhan kes jangkitan terkini adalah 8,943 kes dengan 8,607 kes daripadanya telah pulih. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply