Home Politik Tok Mat gesa Perdana Menteri ikut Singapura, bubar Parlimen

Tok Mat gesa Perdana Menteri ikut Singapura, bubar Parlimen

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan.

Beliau berkata, langkah sebagaimana dilakukan oleh kerajaan Singapura yang telah membubarkan Parlimen republiknya itu, adalah bagi memastikan kerajaan yang memerintah mempunyai mandat yang baik dan diyakini.

“Dalam konteks negara kita, adalah baik jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga melakukan perkara yang sama tanpa berlengah,” katanya dalam hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut beliau, Malaysia tidak pernah berada dalam keadaan politik yang sangat tidak stabil seperti sekarang sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Kestabilan politik akan memberi kesan dan pengaruh kepada banyak perkara termasuklah kemasukan pelabur, aktiviti ekonomi dan ketenteraman sosial,

“Keadaan semasa sangat menyukarkan kerajaan untuk meluluskan pelbagai rang undang-undang yang kritikal termasuklah membentangkan belanjawan bagi memulihkan negara dari kemelesetan ekonomi yang dihadapi waktu ini,

“Segala usaha untuk memulihkan ekonomi Malaysia, mencipta pekerjaan dan melonjakkan persaingan tidak akan berlaku tanpa kerajaan yang stabil dan Parlimen yang boleh berperanan melakukan semak dan imbang,” ujarnya lagi.

Mohammad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, hanya kerajaan yang mempunyai mandat dan majoriti selesa di Parlimen dapat berfungsi dengan baik serta menumpukan segala fokus kepada memulihkan Malaysia dari segala cabaran besar yang bersifat ‘unprecedented’ yang sedang kita hadapi.

“Negara ini adalah sebuah demokrasi berparlimen. Kuasa sebenar ialah pada rakyat dan bukan pada sesiapa yang lain,

“Apatah lagi pada blok-blok yang dibentuk sesedap rasa mengikut keselesaan dan kemahuan ahli politik,

“Oleh yang demikian, kembalikanlah kuasa tersebut kepada rakyat dan biarlah mereka yang menentukan jalan kehadapan bagi tanahair tercinta,” katanya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply