Home Semasa Pengunjung terlalu ramai, KKM arah Bukit Broga ditutup

Pengunjung terlalu ramai, KKM arah Bukit Broga ditutup

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 25 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini mengeluarkan perintah penutupan kawasan pendakian Bukit Broga, Selangor, berkuat kuasa Sabtu ini sehingga ke suatu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penutupan kawasan pendakian tersebut adalah di bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) ekoran terdapat laporan media berhubung tahap pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan individu, syarikat dan industri yang dilihat semakin menurun.

“Terdapat premis kedai dan syarikat yang tidak beroperasi mengikut SOP yang telah ditetapkan,

“Misalnya, baru-baru ini terdapat penularan isu terlalu ramai pengunjung di Bukit Broga, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, SOP dan normal baharu yang sering ditekankan kerajaan sememangnya bertindak sebagai sistem pertahanan negara kita terhadap penularan wabak COVID-19.

“Sehubungan itu, KKM menyeru orang ramai supaya tidak alpa dan mengambil mudah dengan pematuhan kepada SOP dan normal baharu ini,

“KKM berharap segala usaha kita selama ini untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 diteruskan oleh semua peringkat dan lapisan masyarakat,” tambahnya.-airtimes

 

 

Related Articles

Leave a Reply