Home Pertahanan dan Keselamatan TLDM garis 4 teras utama, panduan Pegawai Muda laksana amanah

TLDM garis 4 teras utama, panduan Pegawai Muda laksana amanah

by Farrah Najihah Hisyam

LUMUT, 25 Jun –  Timbalan Panglima Tentera Laut (TPTL), Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob menyeru Pegawai Muda agar sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam menjalankan amanah yang dipikul.

“Empat nilai teras iaitu kemuliaan (honour), kesetiaan (loyalty), keberanian (courage) dan kebanggan (pride) wajib dijadikan panduan dan amalan dalam memikul amanah yang diberi,” katanya semasa Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Kanan (PKK) di Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan TLDM (MPPL), Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini.

TLDM dalam satu kenyataan berkata, seramai 29 PKK TLDM terdiri daripada 22 lelaki dan 7 wanita telah menamatkan latihan setelah menyertai perkhidmatan melalui kemasukan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Pengambilan 2014 dan 2015.

“Mereka telah menjalani tempoh pengajian dan latihan ketenteraan di UPNM dan KD SULTAN IDRIS 1 (KDSI 1) selama empat tahun bagi PKK dari Cawangan Eksekutif dan Bekalan manakala lima tahun bagi Cawangan Kejuruteraan,

“Mereka juga dijadualkan menyertai perbarisan tamat latihan dan upacara pentauliahan pada 18 Mac lalu namun terpaksa dibatalkan disebabkan oleh pandemik COVID-19,” jelasnya.

Susulan dari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), MPPL sebagai markas latihan telah melaksanakan Majlis Pemakaian Pangkat PKK TLDM mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan seperti pemeriksaan suhu, penggunaan hand sanitizer dan penjarakan sosial.

Abdul Rahman turut menyampaikan anugerah Piala Seri Samudera dan Pedang Kehormat kepada PKK Terbaik Keseluruhan iaitu Muhamad Ikmal Mohd Saed TLDM.

“Penganugerahan ini dibuat berdasarkan sikap terpuji yang dipamerkan oleh beliau selain kesungguhan dan kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun ketenteraan,” tambah kenyataan itu.

Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kesemua pegawai dan jurulatih yang terlibat dalam memastikan aspek latihan yang mantap dan pembelajaran yang efisien untuk melahirkan modal insan yang kompeten.

Related Articles

Leave a Reply