KEDAH, 12 Mei – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah hari ini mengisytiharkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta merta ekoran hilangnya kepercayaan terhadap Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kedua-dua mereka ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee berkata Anwar dilihat mempunyai kepentingan peribadi untuk menjadi Perdana Menteri.
Pada masa yang sama, mereka turut menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Azman dan Dr Robert berkata demikian dalam satu sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri DUN Sidam, yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.
Dr Robert berkata semenjak Anwar menjadi pemimpin PKR, banyak perpecahan telah berlaku termasuk pemecatan serta merta bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin.
“Hari ini saya mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai Ketua Cabang PKR Sungai Petani dan semua jawatan dalam parti serta merta,” katanya.
Manakala Azman menjelaskan keputusan itu dibuat setelah pertimbangan secara mendalam.
“Mulai hari ini juga kami bukan lagi ahli dan ADUN PKR,” katanya.
“Kami keluar sebagai calon Bebas dan kini mesra dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU),
“Saya dan Robert memberi sokongan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat Persekutuan serta penubuhan kerajaan PN di peringkat Negeri Kedah, ” kata Azman.
Menurutnya, satu pengumuman khas akan dibuat petang ini bagi memaklumkan mengenai satu kerjasama politik baharu di negeri Kedah, sekali gus membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) campur Bersatu di negeri itu.
Kedah yang diterajui Datuk Seri Mukhriz Mahathir kini hanya tinggal majoriti 17 kerusi berbanding Perikatan Nasional yang diterajui PAS (15), BN (2) dan BEBAS (2) mempunyai jumlah keseluruhan 19 buah kerusi.-AirTimes