Home Semasa PGA7 bantu laksana perintah kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan

PGA7 bantu laksana perintah kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan

by Bernama

KOTA BHARU, 18 Mac – Batalion ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) akan membantu agensi keselamatan lain di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di kawasan itu mulai hari ini hingga 31 Mac.

Pegawai Pemerintah PGA7 Superintenden Azhari Nusi berkata pihaknya menempatkan sebilangan pegawai dan anggota di tiga pintu masuk utama ke Kelantan, masing-masing di Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

“Penugasan kawalan ini dilaksanakan melalui beberapa pendekatan, antaranya menambahkan kekuatan anggota polis yang bertugas di semua Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) iaitu ICQS Bukit Bunga, ICQS Rantau Panjang dan ICQS Pengkalan Kubor.

“Pelaksanaan kawalan di ICQS berbentuk pemeriksaan di pintu masuk dan keluar agar tiada pelanggaran terhadap Perintah Kawalan Pergerakan berlaku serta memastikan pelaksanaan kawalan ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata semua kenderaan dari negara jiran tidak dibenarkan memasuki Malaysia manakala rakyat negara ini yang pulang akan disaring oleh kakitangan Kementerian Kesihatan yang bertugas di situ.

Azhari berkata pihaknya juga melakukan kawalan di beberapa pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang, Jeram Perdah dan Kuala Jambu bagi memastikan tiada pembolosan ataupun pergerakan masuk oleh mana-mana pihak dari Thailand ke Malaysia atau sebaliknya bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan dipatuhi sepenuhnya.

“Setakat ini, pihak polis dengan kekuatan 100 pegawai dan anggota membuat kawalan berterusan 24 jam di 14 pangkalan haram utama yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ yang digunakan rakyat tempatan dan warga asing untuk tujuan memasuki negara Malaysia secara tidak sah.

“Hasil pemantauan mendapati semua rakyat tempatan dan rakyat asing memberikan kerjasama yang cukup baik dan akur kepada arahan serta nasihat yang disampaikan pihak polis,” katanya.

Beliau turut menyeru semua rakyat Malaysia yang berada di sempadan Malaysia-Thailand supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan sepenuhnya selain memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan arahan ini tanpa sebarang masalah.

“Perkara ini amat perlu bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dikekang daripada terus merebak,” katanya.  – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply