Home Politik Khairy: Tekad bawa MOSTI pacu negara tempuh cabaran global

Khairy: Tekad bawa MOSTI pacu negara tempuh cabaran global

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan tanggungjawab yang beliau galas sebagai Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) dalam barisan kabinet baharu bukanlah satu tugas yang mudah.

Beliau berkata amanah yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan dijalankan dengan sebaik mungkin demi untuk memastikan kementerian dibawah pimpinannya memacu kemajuan negara seiring dengan peredaran teknologi semasa.

“Tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ini bukanlah suatu tugas yang mudah,

“Bagi menempuh cabaran global dengan teknologi moden serba pantas selain daripada sasaran Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi, kementerian ini pastinya akan menjadi pemacu utama yang akan memandu Malaysia melepasi cabaran bagi mencapai sasaran tersebut,” jelas Khairy dalam hantaran di Facebook rasmi  pada Selasa.

Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menyenaraikan beliau dalam barisan Kabinet baharu.

Semalam, Khairy bersama 30 menteri dan 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati.

Kesemua mereka mengangkat sumpah jawatan susulan pengumuman pembentukan Kabinet baharu oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

 

 

Related Articles

Leave a Reply