KUALA LUMPUR, 11 Mac – Tan Sri Abdul Wahid Omar, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyifatkan Menteri Kewangan yang baru dilantik Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz sebagai teknokrat yang berwibawa untuk menguruskan kewangan dan ekonomi negara.
Abdul Wahid berkata beliau gembira melihat Tengku Zafrul yang berusia 46 tahun menerajui Kementerian Kewangan dan Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab untuk ekonomi.
“Saya gembira kita mempunyai teknokrat yang berwibawa seperti Tengku Zafrul di Kementerian Kewangan serta menteri yang berpengalaman, cekap dan amat rajin seperti Mustapa Mohamed di Unit Perancang Ekonomi untuk menguruskan kewangan dan ekonomi negara,” katanya hari ini bagi menjawab artikel yang diedarkan dalam media sosial mempersoalkan pelantikan Tengku Zafrul sebagai antara anggota Kabinet Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Abdul Wahid berkata Tengku Zafrul dan Mustapa menghadapi cabaran yang besar dalam keadaan sekarang dengan harga minyak yang rendah, COVID-19, ekonomi global yang lembap dan pergolakan dalam pasaran kewangan.
“Mereka mendapat sokongan saya. Bagi kebanyakan kami yang bukan ahli politik, marilah kita semua memainkan peranan masing-masing dan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin, Kabinet dan kerajaan hari ini untuk membina Malaysia yang lebih baik,” katanya.
Abdul Wahid, yang merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malayan Banking Bhd (Maybank) sebelum menyertai Jabatan Perdana Menteri, menyelar artikel bersifat ‘fitnah’ itu.
“Tengku Zafrul merupakan antara tiga timbalan saya di Maybank dengan potensi untuk menggantikan saya sebagai CEO. Beliau adalah CEO Maybank IB bersama dengan Datuk Farid dan pasukan yang berjaya membina perniagaan perbankan pelaburan serantau di Maybank menjadi peneraju hari ini,” katanya.
Beliau berkata selepas Lembaga Pengarah Maybank melantik Datuk Abdul Farid Alias sebagai Presiden dan CEO di Malayan Banking Bhd, CIMB mengambil Tengku Zafrul dan beliau kemudiannya menggantikan Datuk Seri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak sebagai CEO CIMB Group.
“Semua CEO bank perlu lulus ujian yang wajar sebelum diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya, sambil menambah Tengku Zafrul seorang yang baik. – Bernama