Home Semasa NGO: DAP ada kaitan dengan komunis, cuba tukar agama rasmi Persekutuan

NGO: DAP ada kaitan dengan komunis, cuba tukar agama rasmi Persekutuan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk menyiasat hubungkait antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Gesaan itu dibuat Ellie Suriaty Omar berhubung isu Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang telah membuat laporan polis terhadap Tan Sri Musa Hassan.

“Tan Sri Musa Hassan adalah bekas Ketua Polis Negara dan amat prihatin terhadap isu keselamatan negara,” kata Ellie semasa sidang media di Wisma MPM, Kuala Lumpur, semalam.

Beliau menambah, kenyataan oleh Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee yang menolak kaitan DAP dengan PKM adalah satu tindakan memakan diri. Menurut Ellie, kenyataan balas oleh DAPSY adalah semata-mata bersandarkan dakwaan oleh Abdullah C.D.

Dalam wawancara oleh sebuah media tempatan, Abdullah CD menyifatkan dakwaan DAP adalah sama sebagai ‘sesuatu yang melucukan’ dan tidak benar.

Ellie turut menegaskan, Tan Sri Musa Hassan mempunyai latar belakang yang kukuh dan bukan sebarangan untuk mengeluarkan kenyataan kaitan antara DAP-PKM. Menurutnya, tindakan oleh Howard adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan satu laporan polis akan dibuat terhadap Howard Lee.

“Nga Kor Ming telah mengabadikan gambar Chin Peng pada kulit sebuah buku. Itu menandakan apa?

“Nga Kor Ming turut mengakui ada pertalian darah dengan bekas ahli PKM. Begitu juga dengan Hannah Yeoh,” kata Ellie.

Beliau menambah, DAP adalah satu parti yang bertindak ‘central democratic’ dan menyokong ideologi komunis serta sosialis.

“Kita sudah pun mengetahui bahawa perhimpunan Memperingati Perjanjian Hatyai 1989 oleh bekas-bekas PKM di Universiti New Era Kajang yang turut dihadiri oleh orang berkepentingan dan berkedudukan dalam DAP,

“Kita meminta satu siasatan besar-besaran terhadap penglibatan DAP dengan PKM. Kita dapat melihat menerusi dasar-dasar dan polisi  melalui konsep Malaysian Malaysia,” ujar pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) GABUNG.

Untuk rekod, satu perjumpaan dan perhimpunan sebagai memperingati perjanjian dalam di antara PKM dan kerajaan Malaysia telah diadakan di New Era College pada 1 Disember 2019. Perhimpunan itu telah mencetuskan kontroversi dan ada pihak mendakwa majlis itu adalah satu usaha untuk menghidupkan ideologi komunis di negara ini.

Ellie berkata, penglibatan parti komponen kerajaan PH itu perlu disiasat oleh pihak polis secara besar-besaran.

“Saya menyeru polis adakan siasatan terperinci terhadap Hannah Yeoh kerana bukunya mempunyai unsur-unsur menukar agama persekutuan yang dilindungi oleh Perkara 3 Perlembagaan,

“Kehendak DAP adalah untuk menukar agama Islam kepada agama Kristian Evangelist,

“Oleh itu, kita mahu pihak polis untuk melakukan siasatan secara besar-besaran tanpa mengira kedudukan Nga Kor Ming, Hannah Yeoh dan Howard Lee,” tegasnya lagi.

Terdahulu, sebuah klip video syarahan oleh bekas Ketua Polis Negara dalam Sesi Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989 di sebuah universiti tempatan telah tular di media sosial.

Musa mendakwa DAP mempunyai niat untuk menghidupkan semula ideologi komunis di negara ini. Selain itu, beliau turut mengaitkan penglibatan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu dengan Parti Komunis Malaya (PKM).

Dakwaan Musa itu sekaligus menimbulkan kemarahan para pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang yang membidas dakwaan bekas Ketua Polis Negara itu sebagai satu fitnah serta pembohongan.

Pada masa yang sama, Ketua DAPSY Kebangsaan dan Adun Pasir Pinji, Howard Lee menegaskan DAP menolak ideologi komunisme dan menyifatkan Musa telah menyalahagunakan kedudukan untuk memfitnah.

Selain itu, DAP turut melakukan laporan polis terhadap Musa dan beliau akan dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung isu berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador menegaskan, siasatan dijalankan susulan beberapa laporan dan ianya merupakan satu prosedur yang biasa.

 

Related Articles

Leave a Reply