Home Semasa Malaysia catat kes ke-4 jangkitan virus 2019-nCov, 17 pelancong dikuarantin

Malaysia catat kes ke-4 jangkitan virus 2019-nCov, 17 pelancong dikuarantin

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 26 JAN – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengesahkan kes 4 jangkitan 2019 novel Coronavirus (2019-nCoV) telah dicatatkan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes terbaharu itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan 3 kes jangkitan yang dilaporkan pada awal pagi semalam.

“Kes terbaru ini merupakan seorang lelaki berumur 40 tahun yang berasal dari Wuhan, China. Pesakit tiba di Johor Bahru pada 22 Januari 2020 dengan menaiki bas dari Singapura,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, pesakit tiba dari Singapura bersama sekumpulan pelancong sehari sebelum dilaporkan demam.

“Pesakit datang bersama sekumpulan pelancong warga China seramai 17 orang termasuk isteri dan seorang anaknya. Beliau mula mengalami gejala demam pada 23 Januari 2020 dan keesokan harinya beliau telah pergi mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta berhampiran,” jelas Hisham.

Menurut beliau, pesakit kemudiannya menerima rawatan lanjut di bawah jagaan Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Pada petang 25 Januari 2020, pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima pelaporan bahawa sampel pesakit terbabit didapati positif 2019-nCoV.

“Pada ketika ini, pesakit masih mengalami demam dan batuk namun dalam berada dalam keadan stabil,” ujar Ketua Pengarah Kesihatan.

Sementara itu, beliau turut menyatakan Pihak Jabatan Kesihatan (JKN) Johor telah mengesan kesemua 17 orang yang tiba di Johor Bahru bersama pesakit. Kesemua pelancong terbabit telah menjalani ujian saringan kesihatan dan sedang dikuarantin.

“Hasil saringan mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh,

“Kesemua pelancong tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka,” kata Hisham.

Related Articles

1 comment

Perdana Menteri: Wabak koronavirus di negara ini belum serius – Air Times News Network 26 January 2020 - 2:55 pm

[…] Artikel berkenaan: Malaysia catat kes ke-4 jangkitan virus 2019-nCov, 17 pelancong dikuarantin […]

Reply

Leave a Reply