Home Politik Tun M perlu diberi peluang jadi Perdana Menteri hingga akhir penggal: Azmin

Tun M perlu diberi peluang jadi Perdana Menteri hingga akhir penggal: Azmin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 29 Jul – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diberi peluang untuk memimpin negara hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.

Mohamed Azmin mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian PAS dan UMNO untuk memberikan dukungan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

“Pendirian tersebut adalah seiring pandangan yang pernah saya lontarkan supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera,

“Dukungan bipartisan terhadap Perdana Menteri merupakan lembaran baru dalam politik Malaysia di mana kepentingan rakyat diberikan keutamaan. Ini telah ditampilkan dalam meluluskan pindaan Perlembagaan yang menurunkan had usia mengundi pilihan raya kepada 18 tahun, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata sokongan tersebut bukti keyakinan terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang berhemah tinggi sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung negara.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, perbedaan politik akan tetap wujud, namun setiap perbezaan itu perlu diurus dengan baik demi menjamin kepentingan rakyat.

“Kepimpinan Tun Dr Mahathir diperlukan untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan (consistency) dasar-dasar Kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang-peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.

“Saya yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara termasuk konsep ‘shared prosperity’ yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia,” ujarnya.

Mohamed Azmin berkata mandat rakyat yang diterima oleh Pakatan Harapan lebih setahun yang lalu memerlukan kestabilan demi melaksanakan reformasi institusi dan langkah positif untuk memulihkan ekonomi.

“Kejayaan melaksana agenda serampang dua mata ini akan memberikan manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply