JOHOR BAHRU, 4 Mei – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan untuk menyerahkan sebidang tanah di Bukit Chagar bagi tujuan pembinaan Sistem Transit Aliran (RTS) Johor-Singapura kepada kerajaan tanpa sebarang kos.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Johor, Datuk Jaba Mohd Noah berkata, Baginda berkenan berbuat demikian sekiranya benar tanah tersebut milik Tuanku terlibat untuk Projek RTS.
“Dengan syarat Projek RTS ini mestilah diteruskan dengan segera kerana Baginda Tuanku amat memahami derita rakyat yang terpaksa berulang-alik ke Singapura.
“Sebagaimana yang sering ditegaskan bahawa kepentingan rakyat dan kerajaan sentiasa menjadi keutamaan baginda dan setiap isu haruslah dibawa berbincang secara muafakat,” kata Jaba dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata Sultan Johor kecewa dengan laporan berita yang mengaitkan isu peningkatan kos Projek RTS dengan sebidang tanah milik Baginda di Bukit Chagar.
“Sehingga ke hari ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor tidak pernah dimaklumkan mengenai tanah milik Baginda yang akan terlibat projek RTS tersebut,” katanya.