Home SemasaGlobal Liga Arab gesa tubuh negara Palestin

Liga Arab gesa tubuh negara Palestin

by Noor Sheila Amin

TUNIS, 2 April –  Edisi ke-30 sidang kemuncak Liga Arab yang berakhir pada Ahad malam, menggesa penubuhan negara Palestin dan mengulangi sokongan kuatnya terhadap penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin, lapor agensi berita China Xinhua.

“Adalah sesuatu yang tidak dapat diterima untuk meneruskan situasi ketika ini yang menjadikan dunia Arab kepada rantau yang penuh dengan ketegangan dan konflik yang mengancam keselamatan, kestabilan dan pembangunan negara-negara kita,” kata Menteri Luar Tunisia Khemaies Jhinaoui ketika menggariskan pernyataan akhir sidang kemuncak itu.

Jhinaoui menyeru masyarakat antarabangsa agar memberikan perlindungan yang diperlukan kepada rakyat Palestin dan tempat-tempat suci mereka.Palest

“Kami mengulangi penolakan semua langkah unilateral bagi menukar status perundangan Baitulmaqdis,” katanya.

Menteri Tunisia menegaskan bahawa keselamatan dan kestabilan di rantau Arab memerlukan usaha yang lebih intensif bagi menghentikan semua bentuk ketegangan dan konflik serta mengambil inisiatif dalam mempercepat laluan ke arah mencapai penyelesaian politik secara menyeluruh bagi krisis yang dihadapi.

Beliau turut menegaskan bahawa perdamaian mewakili titik mula bagi memperkukuh keselamatan dan kestabilan rantau Arab terhadap gangguan luar.

Juga dalam pernyataan akhir itu, sidang kemuncak tersebut mengesahkan hasrat para pemimpin Arab untuk menyatupadukan Libya serta menjamin kedaulatannya, menolak penyelesaian ketenteraan dan semua bentuk campur tangan dalam hal ehwal dalamannya.

Liga Arab turut menyeru ke arah langkah mempercepat pencapaian satu penyelesaian politik yang menyeluruh menerusi satu proses dialog selaras dengan usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mengakhiri penderitaan rakyat Libya.

Berkenaan isu Syria, yang dibincang secara serius di sidang kemuncak itu meskipun tanpa kehadiran presiden Syria, pernyataan akhir tersebut mengesahkan kehendak para pemimpin Arab untuk mencapai satu penyelesaian politik bagi menamatkan krisis di Syria dan penderitaan rakyatnya dengan mencapai aspirasi mereka untuk hidup dalam keadaan aman dan selamat, selain memelihara perpaduan, kedaulatan dan kemerdekaan Syria.

Pernyataan akhir itu menganggap Golan Heights sebagai wilayah Syria yang diduduki, selaras dengan undang-undang antarabangsa, resolusi PBB dan Majlis Keselamatan.

Para pemimpin Arab menolak sekeras-kerasnya keputusan AS yang mengiktiraf Golan Heights sebagai wilayah Israel kerana ia merupakan satu pencabulan serius terhadap resolusi antarabangsa dan ancaman kepada kestabilan rantau Arab. — Bernama

Related Articles

Leave a Reply