Home Teknologi PertahananMilrem bangunkan robot pemusnah kereta kebal pertama di dunia.

Milrem bangunkan robot pemusnah kereta kebal pertama di dunia.

by M.Daim
A+A-
Reset

Syarikat pertahanan Estonia, Milrem Robotics (Milrem) telah menghasilkan “Unmanned Ground Vehicle”  (UGV) yang dilengkapi dengan sistem persenjataan peluru berpandu anti armor (Anti Tank Guided Missile, ATGM).  Varian UGV ini merupakan sebahagian daripada hasil pembangunan UGV Tracked Hybrid Modular Infantry System (THeMIS) keluaran Milrem.

 

THeMIS varian ATGM ini dilengkapi dengan dua pelancar peluru berpandu MMP. Foto: MBDA/Milrem

Varian THeMIS MMP ATGM ini mula dipamerkan kepada umum semasa Pameran IDEX 2019 di Abu Dhabi, baru-baru ini. UGV ini dihasilkan pada jangka masa 8 bulan selepas MILREM dan MBDA mengumumkan kerjasama dalam kajian untuk menghasilkan UGV ATGM.

Projek ini melibatkan integrasi sistem turet IMPACT keluaran MBDA pada UGV THeMIS. Selain dilengkapi dengan dua peluru berpandu MMP, UGV ini turut dilengkapi dengan mesingan bagi tujuan pertahanan diri.

UGV ini dioperasikan secara jarak jauh oleh operator. Menurut MILREM, sistem kawalan dihubungkan secara tanpa wayar (wireless) atau ‘tethered connection’. Pengoperasian sebegini adalah lebih senyap kerana mempunyai tetanda haba dan tetanda bunyi yang rendah.

Perkara ini diakui oleh Alar Laneman, Penasihat Ketenteraan Milrem. Menurut beliau, penghasilan UGV THeMIS ATGM ini merupakan salah satu cara pertempuran di kawasan terbina (OBUA).

“Salah satu cabaran dalam OBUA adalah untuk menyembunyikan infantri dari sistem penderia dan pemantauan oleh musuh. Sistem ini sudah tentu direka untuk membendung ancaman anti armor oleh infantri di kawasan terbina.

“Matlamat utama projek ini adalah untuk membangunkan satu sistem yang mempunyai tetanda haba yang rendah disamping memastikan keselamatan anggota infantri di medan pertempuran,” jelas Alar.

MMP merupakan sistem ATGM generasi ke-5 keluaran MBDA Missile Systems. Foto: Laurent Guichardon/MBDA

ATGM MMP

MMP merupakan sistem peluru berpandu ATGM generasi ke-5 yang dihasilkan oleh MBDA Missile Systems. Selain digunakan oleh infantri, persenjataan ini turut dipasang pada kenderaan tempur serta kapal kecil. Peluru berpandu MMP mempunyai kepala peledak pelbagai guna bagi menyerang sasaran seperti kenderaan armor atau struktur.

Berdasarkan data teknikal yang dibekalkan oleh MBDA Missile Systems, peluru berpandu MMP mampu untuk menyerang sasaran sejauh lebih 4 kilometer.

Menurut Ketua Pengarah MILREM, Kuldar Väärsi, kombinasi sistem persenjataan MMP dan UGV THeMIS menjadi bayangan perubahan corak peperangan di masa hadapan.

“Kombinasi dua teknologi sebegini merupakan contoh terbaik bagaimana robot digunakan di medan pertempuran. Pada masa yang sama, penggunaan UGV ini turut mengatasi beberapa halangan sedia ada,” jelas Kuldar.

Beliau turut menjelaskan UGV sebegini mampu untuk menjadi faktor pengganda kekuatan sesebuah pasukan tentera dalam menghadapi ancaman armor oleh musuh.

[videopress pI3zacwE]

Penasihat Ketenteraan MBDA, Francis Bordachar menyatakan pemasang MMP pada UGV THeMIS bukan sahaja memberi kelebihan dari segi kuasa tembakan tetapi turut mempertingkatkan tahap keupayaan pemantauan sesebuah pasukan tentera.

“Pemasangan MMP pada UGV THeMIS turut memberikan keupayaan ISTAR (Perisikan, Pengawasan, Perolehan Sasaran, dan Peninjauan) kepada sesebuah pasukan. Dengan menggunakan rangkaian C4I, data sebegini dapat disampaikan kepada operator pada jarak yang lebih selamat dari medan pertempuran,” kata Francis.

Penggunaan UGV THeMIS bukan sahaja memberikan kelebihan dari segi kuasa tembakan tetapi turut mempertingkatkan tahap pemantauan medan pertempuran. Foto: Milrem

TITAN UGV ATGM

Selain menjalinkan kerjasama dengan MBDA pada Jun 2018, MILREM turut berkerjasama dengan Kongsberg untuk menghasilkan UGV Titan yang dilengkapi dengan senjata AT. UGV Titan merupakan hasil kerjasama Milrem dengan syarikat Qinetiq North America (QNA). Konsep Titan adalah menyamai konsep THeMIS namun ia direka khusus bagi tujuan pasaran Amerika Syarikat dengan menggunakan sistem kawalan UGV keluaran QNA. Sistem kawalan UGV keluaran QNA adalah merangkumi Tactical Robot Controller (TRC) and Robotic Appliqué Kit (RAK).

UGV Titan anti armor yang dilengkapi dengan mesingan berat dan ATGM Javelin.

Melalui kerjasama dengan Kongsberg, persenjataan Javelin telah dipasang pada Titan yang dilengkapi dengan stesen persenjataan kawalan jauh PROTECTOR. Selaras mesingan berat 50 kaliber turut dipasang sebagai senjata sokongan. Varian ini telah dipamerkan di satu pameran pertahanan di Washington pada tahun lalu. Selain daripada itu, UGV Titan ini telah melaksanakan ujian penembakan di Norway. Walaupun begitu, UGV Titan varian AT masih lagi perlu untuk menjalani pelbagai ujian yang lain.

Ringkasan mengenai THeMIS

THeMIS merupakan sistem UGV hibrid modular yang pertama di dunia semenjak diperkenalkan pada sekitar tahun 2016-2017 . UGV ini direka untuk melaksanakan pelbagai tugasan di medan seperti platform pengangkut UAV, sistem persenjataan kawalan jauh, dan juga pemusnah bom. Konsep seni bina terbuka (open architecture) yang terdapat pada THeMIS membolehkan UGV ini bertukar peranan dari semasa ke semasa.

THeMIS Adder telah diuji dalam iklim ekstrem di Estonia. Foto: Milrem

Selain daripada persenjataan ATGM, UGV THeMIS turut dilengkapi dengan sistem persenjataan lain yang lazimnya terdiri daripada mesingan. Sebagai contoh THeMIS Adder yang merupakan hasil kerjasama antara Milrem dengan syarikat Singapura, ST Kinetics.

Konsep UGV THeMIS ATGM hasil kerjasama Milrem dengan MBDA. Foto: MBDA

 

 

Related Articles

Leave a Reply