KUALA LUMPUR, 23 Feb – Seramai 1,792 Perajurit Muda Lelaki Siri 187/18 akan menamatkan latihan Tentera Darat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada pagi ini.
Kesemua Perajurit Muda telah menjalani latihan asas tersebut selama 24 minggu yang bermula sejak 18 Ogos 2018 hingga tamat latihan hari ini.
Majlis Istiadat Perbarisan Tamat Latihan itu akan disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.
Komandan PUSASDA, Kolonel Zambery Jefry Darus berkata sepanjang di PUSASDA, Perajurit Muda akan menjalani latihan seperti ilmu ketenteraan, kekuatan fizikal dan mental, membina jati diri, Spiritual, keagamaan dan displin.
Latihan yang dilaksanakan untuk melatih dan melengkapkan Perajurit Muda dengan keperibadian ketenteraan, pengetahuan asas ketenteraan, pembinaan kekuatan dan ketahanan fizikal serta mental sebelum di serap ke pelbagai kor dalam TD.
Pada siri kali ini, pecahan bangsa Perajurit Muda terdiri dari Melayu seramai 1,312 orang, India 44, Cina 12 dan 424 orang dari lain-lain bangsa.