Home Semasa SUV terjunam: Pemandu Toyota Vios positif ganja – Polis

SUV terjunam: Pemandu Toyota Vios positif ganja – Polis

by Nurulhuda

GEORGE TOWN, 21 Jan – Pemandu Toyota Vios yang terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan sebuah kenderaan SUV terhumban ke laut, awal pagi semalam didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata ujian saringan awal lelaki berusia 21 tahun dan merupakan pendandan rambut itu mendapati dia positif ganja.

“Polis telah menghantar sampel darah lelaki itu ke Jabatan Kimia untuk ujian lengkap bagi mengetahui kandungan alkohol dan dadah di dalam darahnya, keputusan mengenainya dijangka diketahui dalam masa terdekat, ” katanya hari ini.

Beliau berkata lelaki itu kini dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Baru, dekat sini kerana mengalami kecederaan pada kepala, kaki dan tangan akibat kemalangan berkenaan.

Nik Ros Azhan berkata pemandu kereta Toyota Vios dan mangsa yang terhumban ke dalam laut itu merupakan rakan sejak mereka di sekolah rendah.

“Dua lelaki itu bersama lima lagi rakan (lelaki) menghadiri majlis sambutan hari jadi seorang daripada kawan mereka di sebuah pusat hiburan di Lebuh Chulia, di sini. Kesemua mereka pulang ke rumah masing-masing pada pukul 2.30 pagi.

“Lima rakan mereka tinggal di bahagian pulau manakala mangsa dan pemandu kereta Toyota Vios itu tinggal di kawasan Butterworth,” katanya.

Menurutnya, polis turut menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan dua pemandu kereta itu sedang berlumba ketika kemalangan berkenaan.

Dalam masa yang sama, Koordinator SAR Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, sektor pencarian telah dibahagikan kepada empat sektor berdasarkan kepada aset-aset yang ada.

“APMM mengkoordinasikan operasi SAR mengikut aset-aset dari APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang telah dikerahkan ke tempat kejadian bagi misi mencari dan menyelamat mangsa yang disyaki masih terperangkap dalam kereta berkenaan.

“Aset-aset yang terlibat termasuklah Bot Kilat dari APMM Perak bersama dengan 14 orang penyelam termasuk enam penyelam daripada Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia.

“Pasukan penyelam TLDM turut menyertai operasi SAR dengan kekuatan satu pasukan penyelam KD Duyong seramai sembilan orang. Sebuah bot Pasukan Simpanan Sukarela TLDM KD Perantau dari Pangkalan TLDM Lumut juga digunakan bagi membantu operasi hari ini,” katanya menerusi kenyataan media pagi tadi.

 

 

Related Articles

Leave a Reply