LUMUT, 27 Mei – Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dipercayai telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sejak 18 Mei lalu.
Menurut sumber, pangkalan tersebut dikenakan PKPD berikutan wujudnya kes jangkitan COVID-19 dikalangan anggota dan ahli keluarga.
Perkara ini juga telah dikongsikan menerusi hantaran di Facebook LumutTerkini yang menyatakan semua warga TLDM Lumut kini sedang dikuarantin sejak tarikh tersebut.
“Dato Hj Azri Jaafar Pegawai Khas ADUN Pangkor mewakili YB Dato Seri Dr Zambry bin Abd Kadir menyerahkan sumbangan bantuan makanan kepada Leftenan Kolonel Ustaz Yusof Latif mewakili warga TLDM yang sedang di kuarantin di Pangkalan TLDM Lumut sejak arahan PKPD akibat gejala pandemik COVID-19 pada 18 Mei 2021,” menurut hantaran itu.
Difahamkan, PKPD tersebut dibuat bagi mengelakkan penularan mendadak jangkitan wabak COVID-19 di dalam pangkalan berkenaan.
“Pergerakan keluar masuk kem dihadkan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat,” jelasnya.
Sehingga hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan, Perak telah mencatatkan 228 kes baharu COVID-19 dan sekaligus menjadikan jumlah kes di negeri itu sebanyak 19,490 kes.
Jabatan Kesihatan Negeri Perak pula melaporkan, seramai 37 pesakit COVID-19 dikesan di Lumut dan ia menjadikan keseluruhan kes positif di daerah Manjung seramai 276 kes. -airtimes.my