Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Program TMP perkukuh kerjasama tentera laut tiga negara

Program TMP perkukuh kerjasama tentera laut tiga negara

by Air Times News Network

SANDAKAN, 29 Dis – Pelaksanaan Program Rondaan Maritim Trilateral (TMP) menjadi landasan penting dalam memperkukuhkan kerjasama antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Laut Filipina (TLF) dan Tentera Laut Indonesia.

Menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Strategik Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) TLDM semalam, Kapal TLDM terlibat dalam program itu adalah KD Sri Gaya diketuai Pegawai Pemerintah Leftenan Komander Mohd Nor Fazli Mat Hassan, manakala kapal TLF membabitkan kapal BRP Anastacio Cacaroyin PC 387 diketuai Leftenan Komander Ignacio M Umali PN.

Kedua-dua kapal tersebut melaksanakan rondaan di kawasan perairan negara masing-masing dan telah membuat pertemuan di garis sempadan maritim untuk Inisiatif Bertukar Maklumat, kata kenyataan itu.

Di bawah siri program ini, kru kedua-dua kapal telah mengadakan perbincangan operasi dan perkongsian maklumat khususnya dalam mengenal pasti kawasan tumpuan serta perancangan latihan dilaksanakan, kata kenyataan tersebut.

Sepanjang tahun 2018, sebanyak 20 siri pertemuan di laut telah dilaksanakan oleh TLDM dan TLF.

Selain itu, kru kedua-dua kapal tersebut mengadakan aktiviti “crossdeck” melibatkan lawatan ke tempat kerja masing-masing bagi mengenali tatacara dan prosedur yang diguna pakai oleh TLDM dan TLF.

Menurut kenyataan itu, inisiatif TMP dapat meningkatkan keyakinan masyarakat setempat dan antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia dan Filipina bersama Indonesia dalam mengurus isu keselamatan maritim terutama di Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

Di samping itu, rondaan TMP dapat menurunkan kadar jenayah rentas sempadan dan mengekalkan kestabilan keselamatan maritim serta menjadi salah satu medium bagi ketiga-tiga angkatan laut untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala serta memperoleh manfaat daripada perkongsian ilmu dan latihan bersama.

Related Articles

Leave a Reply