Home Semasa Operasi SAR kru kapal MV Amanda terbalik di perairan Kota Tinggi ditamatkan

Operasi SAR kru kapal MV Amanda terbalik di perairan Kota Tinggi ditamatkan

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 29 Dis – Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid memberitahu Operasi Carilamat (SAR) seorang lagi kru kapal dagang, MV Amanda yang terbalik dan karam di perairan Tanjung Sepang, dekat Kota Tinggi, Selasa lepas, ditamatkan semalam.

Memetik laporan Bernama, Aminuddin berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor menetapkan operasi ditamatkan pada 7 petang tadi dan akan diaktifkan semula jika terdapat tanda-tanda yang boleh dikaitkan dengan penemuan mangsa iaitu seorang lelaki warga Bangladesh.

“SAR bagi mencari kru tersebut telah dikoordinasikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Operasi ini melibatkan tiga kapal dan dua bot dengan kawasan pencarian di laut meliputi 120 batu nautika persegi dari perairan Tanjung Penawar ke Tanjung Sepang. Selain itu, sebuah aset udara APMM turut digunakan dalam usaha pencarian,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Aminuddin berkata selepas segala usaha dilaksanakan sejak Selasa lalu termasuk pencarian di sekitar pantai dan selaman di lokasi kapal karam, tiada penemuan mangsa dan objek yang boleh dikaitkan dengan mangsa ditemukan.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang pada 25 Dis, kapal dagang bermuatan batu yang membawa sembilan kru, kesemuanya warga asing telah mengalami kerosakan pada janakuasa sehingga menyebabkan enjin kapal tidak dapat berfungsi.

Ketika cuba membuat undur penuh, ombak telah menolak kapal berkenaan menyebabkan ia bertembung dengan kapal lain lalu terbalik dan karam.

Bagaimanapun, enam kru lelaki iaitu lima warga Bangladesh dan seorang warga China selamat manakala tiga dilaporkan hilang. Mayat dua daripaa tiga kru tersebut berjaya ditemukan pada 7.45 malam, hari yang sama.

 

 

Related Articles

Leave a Reply