JOHOR BAHRU, 2 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meneruskan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan 3 lagi kru kapal tangki MT Pablo yang dilaporkan terbakar, semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) yang juga Pemangku Ketua Pengarah APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, kawasan pencarian oleh pasukan SAR dibahagikan kepada 4 sektor dan telah diperluaskan sehingga 71 batu nautika persegi dari tempat kejadian.
Jelasnya, sebuah pesawat udara AW139 milik APMM bersama 9 buah aset laut dari APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Laut Malaysia dan Pelabuhan Johor serta Pasir Gudang dengan kekuatan seramai 136 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi ini.
Menurutnya, mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Satyam Tripathi, 26 dan Dinesh Kumar Chauhan, 34 masing-masing merupakan warganegara India.
Manakala, seorang lagi mangsa ialah Sabit Shenderovsky, 37 warganegara Ukraine.
“Seramai 25 orang kru MT Pablo berjaya diselamatkan. Daripada jumlah berkenaan 4 orang kru mengalami kecederaan serius di tangan, pinggang dan kaki,
“Kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan di sana,
“Sehingga waktu ini aset yang terlibat di dalam Op Carilamat ini sedang mempergiatkan usaha untuk mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa yang masih belum ditemui,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Semalam, kapal tangki MT Pablo yang berdaftar dari Gabon, Afrika dengan jumlah 28 orang kru terdiri daripada warganegara India, Ukraine, Rusia dan Pakistan sedang dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura sebelum terbakar di kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili pada sekitar pukul 3 petang. -airtimes.