Home Semasa 27 Rohingya disangka lemas, rupanya menyorok di Pulau Rebak Besar

27 Rohingya disangka lemas, rupanya menyorok di Pulau Rebak Besar

by Air Times News Network

LANGKAWI, 27 Julai – Seramai 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya yang dikhuatiri lemas di perairan Langkawi ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Agensi Penguatkuasa Matitim Malaysia (APMM) di Pulau Rebak Besar di sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata APMM telah menerima aduan dari nelayan tempatan yang menemui seorang lelaki etknik Rohingya di pulau tersebut.

Setelah menerima aduan itu, bot KILAT Maritim Malaysia telah diaturgerak ke lokasi dan telah menemui seorang lelaki yang dilaporkan dan dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan lanjut ke atas PATI tersebut dimaklumkan terdapat 26 lagi masih bersembunyi di pulau tersebut,

“Ekoran maklumat yg diperolehi, bot KILAT dan Kapal KM GAGAH diarah ke lokasi yang sama, yang turut disertai aset daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan hasil pencarian anggota penyelamat telah menemukan 26 orang lagi PATI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua PATI yang ditemui pada jam lebih kurang 6.15 petang itu, telah dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut untuk siasatan lanjut dan saringan awal COVID-19 sebelum diserah kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurut Mohd Zawawi, berikutan penemuan kesemua 27 PATI tersebut, operasi SAR telah ditamatkan malam tadi.

“Hasil siasatan mendapati kemasukan PATI ini ada kaitan dengan bot nelayan tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’ dan juga tekong darat di kalangan warga tempatan yang bersubahat bagi menyeludup PATI masuk ke Langkawi,

“Pihak kami amat kesal dengan segelintir masyarakat tempatan yang sanggup berbuat demikian demi habuan wang ringgit tanpa menghiraukan soal keselamatan dan kedaulatan tanah air,” ujarnya.

Tambahnya, siasatan APMM juga mengesan modus operandi sindiket ini menggunakan taktik menyeludup migran yang dipindahkan dari bot induk yang berada berhampiran sempadan perairan negara ke bot-bot nelayan tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa tempatan.

“Pihak National Task Force (NTF) dan APMM selaku salah satu agensi di bawahnya amat memandang serius perkara ini  dan akan terus menggiatkan usaha untuk meningkatkan kawalan dan pemantauan  khasnya ke atas semua jenis bot di perairan  ini,

“Kami berharap seluruh komuniti maritim berganding bahu dalam memerangi sindiket penyeludupan migran,” jelasnya.

Untuk sebarang aduan mengenai aktiviti jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 / 04-966 5307. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply