Home Pertahanan dan Keselamatan Penduduk dan nelayan tempatan sanggup jadi petualang seludup masuk PATI

Penduduk dan nelayan tempatan sanggup jadi petualang seludup masuk PATI

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Penglibatan penduduk tempatan menjadi tali barut dengan membawa masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) baik melalui laluan perairan mahupun daratan persempadanan negara merupakan satu perbuatan khianat.

National Task Force (NTF) dalam kenyataan berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan mengenakan tindakan tegas kepada dalang kemasukan PATI bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan negara terpelihara.

Menurut NTF, tangkapan demi tangkapan akan dilakukan bagi mengesan saki baki sindiket yang terlibat dalam penyeludupan PATI tersebut.

“Hasil maklumat risikan serta soalsiasat yang dijalankan,didapati terdapat beberapa penduduk setempat dikesan menjadi tali barut kepada sindiket kemasukan PATI ke Pulau Langkawi, baru-baru ini,

“Ia berikutan modus operandi yang digunakan adalah melibatkan bantuan dari penduduk setempat di samping penggunaan bot-bot nelayan tempatan,

“Taktik yang digunakan adalah selepas memasuki perairan Malaysia, PATI ini akan menaiki bot-bot nelayan tempatan dan menyamar sebagai nelayan sebelum mendarat di pulau-pulau sekitar Langkawi,” kata kenyataan itu.

Semalam, seramai 27 PATI dipercayai etnik Rohingya termasuk dua tekong warga Myanmar ditahan di pantai Pulau Rebak Besar, Langkawi.

“Kesemua PATI yang ditahan tersebut dibawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bukit Malut untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pada 21 Julai yang lalu, dua lelaki warga Myanmar yang menetap di Pulau Langkawi disyaki dalang sindiket penyeludupan PATI ditahan dalam satu operasi khas bersepadu yang dikoordinasikan oleh NTF bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),

“Kedua-dua lelaki terbabit ditahan cuba memberi rasuah kepada pegawai penguatkuasa APMM bagi memberi laluan untuk kemasukan migran melalui jalan laut,

“Susulan tangkapan pertama, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kuala Teriang, Langkawi disyaki dijadikan tempat transit dengan melibatkan tangkapan ke atas 34 orang warga asing daripada Thailand dan Myanmar,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, NTF juga menggesa orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan dengan PATI, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan melalui talian hotline Pusat Operasi NTF (011-6251 1223). – airtimes.my

 

Related Articles

1 comment

Rupanya Penduduk Tempatan Dalang Seludup PATI di Langkawi 28 July 2020 - 12:42 am

[…] Airtimes, 21 Julai yang lalu, dua lelaki warga Myanmar yang menetap di Pulau Langkawi disyaki menjadi dalang […]

Reply

Leave a Reply