Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut MV Mega Bakti selamat kembali, selesai misi SAR kapal selam KRI Nanggala

MV Mega Bakti selamat kembali, selesai misi SAR kapal selam KRI Nanggala

by Air Times News Network

KOTA KINABALU, 4 Mei – Kapal penyelamat milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MV Mega Bakti yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal selam Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL), KRI Nanggala-402 selamat tiba di perairan Malaysia, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Markas Pemerintahan Kapal Selam menerusi ciapan di twitter rasminya.

“Selamat kembali, tim operasi mencari dan menyelamat kapal selam TLDM bersama MV Mega Bakti, selamat tiba di Tambatan Pangkalan Kota Kinabalu selesai Operasi SAR KRI Nanggala-402,” kata ciapan itu.

Sebelum ini, MV Mega Bakti berlayar dari Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah pada 7 pagi pada 22 April 2021 dan tiba di perairan utara Bali pada 25 April 2021 bagi misi SAR tersebut.

Operasi kapal MV Mega Bakti itu diketuai Komander Mohd Hairul Fahmy Yob TLDM bersama 54 kru yang terdiri daripada 7 pegawai dan anggota TLDM, 3 pegawai dan staf perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta 44 kru MV Mega Bakti.

KRI Nanggala-402 dilaporkan terputus hubungan pada 4.25 pagi Rabu ketika dalam misi latihan penembakan torpedo yang turut disertai 21 kapal TNI, 5 pesawat tempur dan sebuah kapal selam yang lain.

Bangkai kapal selam itu ditemui tenggelam ke dasar lautan dan kesemua 53 kru KRI Nanggala-402 disahkan meninggal dunia.– airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply