Home Politik CEC DAP akan bincang soal penerimaan darjah kebesaran – Guan Eng

CEC DAP akan bincang soal penerimaan darjah kebesaran – Guan Eng

by Pasri Asyraf

TAIPING, 14 Okt – Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan mengadakan mesyuarat pada minggu depan bagi membincangkan soal penerimaan darjah kebesaran oleh pemimpin parti itu, kata Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng.

Beliau berkata tindakan menerima darjah kebesaran tersebut tidak mencerminkan semangat perjuangan sebenar parti itu sekali gus akan memberikan persepsi lain kepada rakyat kerana parti itu tidak sampai setahun menjadi kerajaan di negara ini.

“Saya tidak mahu apa yang saya sebutkan ini sebagai tanda tidak hormat kepada mana-mana kerajaan negeri (yang mengurniakan darjah kebesaran) tetapi kenapa pemimpin kita perlu terima pada tahun pertama (mentadbir), tunjukkan prestasi berkhidmat untuk rakyat terlebih dahulu.

“…Kalau ini menyinggung mana-mana pihak di luar parti saya minta maaf kerana saya rasa ini amat penting kerana DAP tidak pernah kejar jawatan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Perak yang dihadiri 1,303 perwakilan di Taiping, hari ini.

Turut hadir Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M Kula Segaran dan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Semalam, dua wakil rakyat DAP Melaka iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Hilir Tey Kok Kiew dan ADUN Bemban Wong Fort Pin menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran ‘Datuk’ bersempena sambutan Hari Jadi Ke-80 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Minggu lepas pula, dua menteri DAP Sabah iaitu Stephen Wong dan Frankie Poon dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran ‘Datuk’ bersempena ulang tahun ke-65 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Lim berkata adalah tidak wajar pemimpin parti dari Sabah dan Melaka itu menerima gelaran tersebut sedangkan Penasihat DAP Lim Kit Siang dan bekas Pengerusi DAP mendiang Karpal Singh pernah menolak pemakaian gelaran Datuk yang mereka terima dan lebih selesa dengan gelaran ‘Yang Berhormat’.

“Ya, kita hormat dan terima kasih kepada mereka yang nak berikan gelaran tetapi macam di Melaka, (bekas Ketua Menteri Melaka Allahyarham) Tun Ghafar Baba senang digelar sebagai Encik Ghafar Baba, kalau Tun Ghafar Baba sendiri pun tidak terima, mengapa pemimpin kita terima.

“Ketua Menteri Melaka dari AMANAH (Adly Zahari) tidak terima juga, mengapa pemimpin kita terima, sebab itu penjelasan diberikan tidak boleh diterima dan akan dibincangkan dalam mesyuarat CEC.

“Kalau dipilih oleh rakyat, jadi Yang Berhormat, itupun sudah cukup. Bila saya sebut begini, perkara ini mungkin akan menyinggung perasaan ahli-ahli dan pemimpin tetapi saya rasa perkara ini juga akan disebut kalau Karpal Singh masih ada,” katanya.

Sementara itu, Lim yang juga Menteri Kewangan turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Umum Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi, semalam.

“Ini merupakan kemenangan (undi majoriti) yang lebih besar berbanding pencapaian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (undi majoriti 17,710) sekali gus menandakan sokongan rakyat kekal terhadap Pakatan Harapan,” katanya.

-BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!