Home Politik Pesara TUDM calon PAS di Port Dickson

Pesara TUDM calon PAS di Port Dickson

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 28 Sept – Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dinamakan sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Pengumuman itu dilakukan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di hadapan kira-kira 200 penyokong pada majlis pengisytiharan calon PAS bagi PRK berkenaan di sini, malam tadi.

Mohd Nazari, 57, pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), merupakan Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat).

“Kita berharap pengundi Port Dickson dapat memberi isyarat (dengan mengundi PAS) bahawa sesuatu telah berlaku dalam kerajaan Pakatan Harapan,” kata Tuan Ibrahim.

Turut hadir Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Datuk Iskandar Abdul Samad, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Mustafa Daharun dan barisan kepimpinan parti.

Sementara itu, Mohd Nazari mengucapkan terima kasih kepada presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan kepimpinan parti atas amanah serta kepercayaan diberikan kepada beliau untuk bertanding pada PRK berkenaan.

“Sekiranya saya dipilih saya akan bermukim di sini dan membawa perubahan. Insya-Allah PRK Port Dickson akan menjadi bukti rakyat Malaysia berani membuat perubahan,” katanya yang menetap di Batu Pahat, Johor.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas bagi membolehkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim  yang baru-baru ini, menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17, 710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Related Articles

Leave a Reply