Home Pertahanan dan Keselamatan Penyertaan Malaysia pada Persidangan ADAS 2018 kukuhkan diplomasi pertahanan

Penyertaan Malaysia pada Persidangan ADAS 2018 kukuhkan diplomasi pertahanan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Penyertaan Malaysia dalam Pameran dan Persidangan Pengurusan Keselamatan dan Krisis Pertahanan Asia Ketiga (ADAS 2018) dilihat mampu mengukuhkan diplomasi pertahanan negara khususnya melalui kerjasama industri.

Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong berkata syarikat tempatan yang menyertai pameran itu berupaya mempromosi serta memperluas jaringan pemasaran dan memberi keyakinan kepada syarikat antarabangsa terhadap kemampuan industri pertahanan negara.

“Ia adalah usaha kerajaan memacu industri tempatan untuk terus berkembang dan maju bertaraf antarabangsa. Ini kali pertama Malaysia melalui Kementerian Pertahanan menyertai pameran dan persidangan ini sejak ia dimulakan pada 2014,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Liew berkata pameran dwi tahunan ini juga adalah peluang terbaik untuk syarikat Malaysia meneliti pasaran pertahanan di rantau Asia Tenggara khususnya Filipina.

“Pameran ini juga mendapat sokongan beberapa agensi kerajaan Filipina seperti The Philippine Department of National Defence, Armed Forces of the Phillipines serta agensi lain yang terlibat dalam pengurusan bencana,” katanya.

Antara syarikat tempatan yang menyertai pameran selama empat hari bermula semalam di Pusat Dagangan Dunia Metro Manila, Filipina ialah Dayatech Marine Sdn Bhd, Weststar Defence Industries dan Heitech Padu Bhd. – BERNAMA

Galeri foto (klik untuk melihat gambar penuh):

Sumber foto: Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply