Home PolitikPakatan Harapan Dulu UMNO, sekarang PPBM – Syed Hamid

Dulu UMNO, sekarang PPBM – Syed Hamid

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Bekas menteri dan ahli politik veteran Umno, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar mengumumkan telah lama menyertai PPBM dan kini dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pemilih parti yang diasaskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Syed Hamid telah menghantar borang keahlian kepada Naib Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Selepas menghantar borang keahlian tersebut, saya turut berjumpa dengan Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

“Saya kini sudah menjadi anggota PPBM, “ katanya dalam sidang media selepas program bersama Jawatankuasa Khas Malaysia Mengenai Kemanusiaan malam tadi.

Pada 29 Jun lalu, Syed Hamid Albar keluar Umno dan menyatakan alasannya meninggalkan Umno kerana parti berkenaan sudah lari daripada perjuangan asal dan hanya mengutamakan kelangsungan peribadi pemimpin berbanding mengambil berat hal rakyat.

Mengenai tindakan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon bagi pilihan raya Kecil (PRK) di Port Dickson, Syed Hamid berkata itu adalah keputusan yang wajar.

Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah bahawa parti itu masih belum bersedia dan tidak bermotivasi untuk bertanding.

“Saya fikir eloklah dia tidak bertanding…saya rasa mereka bukan boikot. Boikot ini seolah kita tidak puas hati. Kalau mereka parti bukan kerajaan dan belum bersedia untuk bertanding, buang duit sahaja…tidak berbaloi kalau tidak bermotivasi dan tidak ada hala tuju,” kata Syed Hamid.

Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan BN tidak akan meletakkan calon mewakili parti komponen tersebut.

Mengenai pencalonan Anwar di Port Dickson sebagai usaha menjadi perdana menteri ke-8, Syed Hamid berkata ia adalah hak Anwar untuk bertanding dan mendapat persetujuan parti komponen Pakatan Harapan.

 

Related Articles

Leave a Reply