Home Semasa Lebih 2,000 peserta sertai perbarisan Hari Malaysia Peringkat Negeri Kelantan

Lebih 2,000 peserta sertai perbarisan Hari Malaysia Peringkat Negeri Kelantan

by Nurulhuda

KOTA BHARU, 16 Sept – Sebanyak 2,277 peserta daripada 69 kontinjen menyertai perbarisan sempena sambutan Hari Malaysia peringkat Negeri Kelantan yang disambut di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, hari ini.

Perarakan tersebut, yang bermula pada pukul 8.30 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudian, dirasmikan oleh Tengku Kaya Perkasa Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Fiessal.

Hadir sama Timbalan Mufti Kelantan Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad dan Panglima Briged Kelapan Infantri Brig Jen Muhammad Huzaimi Sabri.

Pada majlis berkenaan, Muhammad Huzaimi turut menyerahkan bendera Malaysia kepada Tengku Mohamed Faziharudean sebagai simbolik majlis perasmian.

Majlis turut diserikan dengan perarakan bendera Malaysia dan Kelantan serta bendera warna-warni daripada kontinjen yang mengambil bahagian yang diketuai oleh Mej Mohd Faizal Azizan daripada 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Selain itu, persembahan tambor daripada gabungan anggota 16 RAMD dan 5 Rejimen Renjer Diraja (RRD) diketuai oleh Pegawai Waran II Khairul Anuar Osman dan persembahan dikir barat berbahasa Arab oleh kumpulan Soutul Balad, Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Bharu, Tumpat turut mencuit hati hadirin yang hadir. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply