Home Politik Pelantikan PM khianati prinsip PH – Nasrudin

Pelantikan PM khianati prinsip PH – Nasrudin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) disifatkan bercanggah dengan tekad Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk memastikan tiada campur tangan politik dalam pentadbiran syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, ketika menyuarakan ketidakpuasan itu berkata PH wajar melihat semula janji ke-22 mereka yang menggariskan hasrat menjadikan pentadbiran semua syarikat milik kerajaan setaraf piawaian antarabangsa.

Beliau berkata, ia secara jelas menyatakan bahawa pelantikan ahli lembaga pengarah dalam GLC nasional dan negeri adalah dalam kalangan profesional serta bukan berdasarkan kaitan politik.

“PH juga harus sedar bahawa mereka yang menentang pemusatan dan langkah membolot kuasa Perdana Menteri sehingga boleh memanipulasi institusi penting negara.

“Oleh itu, PH mencadangkan jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja dan tidak membenarkannya memegang jawatan lain, terutama Menteri Kewangan.

“Seperti kita maklum, Khazanah adalah syarikat bawah pemilikan Menteri Kewangan Diperbadankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan Dr Mahathir dilantik sebagai Pengerusi Khazanah yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan PMO, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah bersama Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Mohd Hassan Marican; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr Sukhdave Singh dan Pengerusi Maybank Asset Management Group Bhd, Goh Ching Yin.

Nasrudin berkata, pelantikan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Khazanah seolah-olah mengkhianati prinsip urus tadbir digagaskan PH, sekali gus membuktikan mereka tiada sebarang perbezaan dengan Barisan Nasional (BN).

“Kerajaan Persekutuan disaran merujuk semula amalan urus tadbir lebih telus seperti digariskan Pertubuhan Pembangunan Kerjasama Ekonomi (OECD).

“Rakyat tentu tidak mahu percanggahan kepentingan dan salah guna kuasa antara Perdana Menteri dengan Khazanah,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply