Home PolitikPakatan Harapan Pendedahan Shukri Abdul, bukti Malaysia pernah ditadbir ‘ala mafia’ – Mahfuz

Pendedahan Shukri Abdul, bukti Malaysia pernah ditadbir ‘ala mafia’ – Mahfuz

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Hj Mahfuz Omar berkata pendedahan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shukri Abdull dalam sidang medianya semalam membuktikan bahawa Malaysia pernah ditadbir ala mafia atau gangster.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, tindakan Datuk Shukri yang terpaksa meninggalkan Malaysia kerana merasakan nyawanya terancam ketika mengetuai siasatan skandal berkaitan SRC International Sdn Bhd, bekas syarikat 1MDB ini dilihat begitu melampau dan tidak mungkin dapat dimaafkan begitu sahaja.

“Semestinya rakyat yang mengikuti perkembangan beliau merasa sedih dan dukacita bagaimana beliau dilayan sedemikian sedangkan beliau dan SPRM berusaha keras mahu menegakkan kebenaran dan menyelamatkan negara,” menurut beliau dalam kenyataan medianya pada hari ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Shukri kerana berani mendedahkan pengalaman beliau semasa menyiasat kes skandal 1MDB dan SRC.

“Jika tanpa pendedahan beliau, rakyat Malaysia tidak akan tahu bahawa ada segelintir elit politik era pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang mencengkam negara menggunakan kekuasaan dan kekerasan terhadap penjawat awam dan menjadikan negara ini seolah-olah milik peribadi mereka,” tambahnya lagi.

“Jika pemimpin kanan SPRM sendiri mengakui diugut, diancam, ditukar dan dipecat ketikan menjalankan tugas, bagaimana pula dengan kakitangan bawahan yang lain?  Mungkin lebih teruk, tetapi enggan mendedahkannya kerana bimbang ancaman keselamatan terhadap diri dan keluarga mereka.

Datuk Mahfuz bersetuju agar siasatan menyeluruh dibuat bagi membuktikan kebenaran dakwaan Datuk Shukri tersebut. Beliau juga menyatakan, sekiranya terbukti ia benar dilakukan, pelakunya wajar dijatukan hukuman berat atas jenayah yang dilakukan itu.

“Apa yang berlaku terhadap beliau menjadi sejarah hitam buat negara dan era pemerintahan baru Pakatan Harapan (PH) agar perkara sedemikian tidak akan berulang.

“Apa yang diharapkan kakitangan kerajaan agar terus dengan sikap profesional, menjalankan tugas atas profesionalisme dan tidak takut kepada sebarang ugutan oleh pemimpin politik yang berkuasa.

“Pentadbir kerajaan perlu bertindak mengikut lunas undang-undang dan bukan mengikut arahan secara semberono oleh pihak atasan. Jangan lindungi pemimpin yang korup tetapi bekerja untuk kepentingan negara tercinta,’ ujarnya lagi.

Naib Presiden Amanah ini juga yakin, Malaysia akan kembali utuh dalam mengulangi kegemilangan pemerintahan negara sekiranya pemimpin dan kakitangan awam saling bekerjasama melindungi negara serta rakyat.

 

Related Articles

Leave a Reply