Home Politik Isu bayaran gratuiti-LTAT tarik balik saman terhadap Rafizi Ramli

Isu bayaran gratuiti-LTAT tarik balik saman terhadap Rafizi Ramli

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menarik balik saman fitnahnya terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung dakwaan bayaran gratuiti pesara angkatan tentera lewat.

Peguam, Saiful Izham Ramli yang mewakili Rafizi selaku defendan berkata, persetujuan itu direkodkan oleh pihak-pihak di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim semalam.

“Pihak LTAT telah menarik balik saman terhadap Rafizi tanpa sebarang perintah terhadap kos,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada media.

LTAT menerusi Tetuan Azzat & Izzat memfailkan saman terhadap Rafizi pada 6 Mei 2016.

Di dalam saman itu, LTAT selaku plaintif mendakwa Rafizi, 38, di dalam laman blog dan laman Facebooknya pada 21 Mac 2016 telah mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Bayaran gratuiti pesara angkatan  tentera lewat: LTAT perlu dedahkan risiko kewangan akibat 1MDB’.

Ia juga menyatakan pada 24 Mac 2016  melalui laman sesawang Malaysiakini, Rafizi telah mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Rafizi: I have document showing LTAT’s link to 1MDB’.

Selain itu pada 28 Mac lalu, Rafizi didakwa mengulangi kenyataannya di laman  Facebooknya yang bertajuk ‘Laporan ketua audit negara ke atas 1MDB mengesahkan kesan masalah kewangan 1MDB ke atas LTAT”.

Dalam penyataan tuntutannya, plaintif mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd Rafizi menuduh LTAT secara tidak langsung atau secara sindiran, tidak menjaga faedah, kebajikan dan tidak mempunyai wang untuk membayar pesara tentera.

Kenyataan itu juga didakwa berniat untuk menjatuhkan imej baik, maruah dan reputasi anggota lembaga pengaruh tabung itu.

Related Articles

Leave a Reply