Home Semasa Bekas kapten larikan 2.6 juta

Bekas kapten larikan 2.6 juta

by Noor Sheila Amin

SHAH ALAM, 16 Mei – Seorang bekas pegawai tentera darat berpangkat kapten diburu polis selepas dipercayai melarikan wang tunai RM2.6 juta, yang diletakkan di sebuah bilik kebal di sebuah syarikat kawalan keselamatan di Sungai Dua, Rawang, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner R Supramaniam berkata, pihaknya percaya lelaki berusia 38 tahun itu masih berada di dalam negara.

“Siasatan pelbagai sudut masih dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sama ada lelaki ini melakukan jenayah secara sendirian atau tidak.

“Berdasarkan semakan, bekas tentera ini baru sahaja bekerja sebagai pengurus syarikat keselamatan cawangan Rawang selama dua bulan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (KJSJK) Selangor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Beliau berkata, semakan turut mendapati lelaki ini memiliki satu rekod bersabit Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan telah dibuang kerja pada tahun 2011.

Dalam kejadian itu, suspek dikatakan terlebih dahulu datang ke syarikat kawalan keselamatan itu untuk menumpang tidur, kira-kira jam 9 malam.

Difahamkan, kira-kira jam 3 pagi, tiga pengawal keselamatan yang bertugas dikejutkan lelaki itu yang memaklumkan bilik kebal tidak berkunci.

Pengawal bergegas ke bilik kebal itu yang terletak di tingkat atas sambil membawa senapang. Sebaik tiba di bilik kebal itu, suspek mengacukan senapang di belakang tiga pengawal dan mengurung mereka di sebuah bilik berhampiran.

Suspek kemudian melarikan diri bersama RM2.6 juta menaiki sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.

Tambah Supramaniam, ketiga-tiga mangsa berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Related Articles

Leave a Reply