Home PolitikPakatan Harapan Rakyat sudah lama tunggu – Jaujan

Rakyat sudah lama tunggu – Jaujan

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 13 Mei – Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong berkata istiadat angkat sumpah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah malam tadi adalah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sabah.

“Apa yang ditunggu rakyat telah termakbul walaupun sebelum ini banyak cabaran yang dihadapi namun kita bersyukur suara rakyat itu telah direstui Allah,” katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan.

“Oleh itu saya berharap perjalanan kerajaan baharu Sabah ini berjalan lancar untuk memastikan hasrat dan tujuan untuk membela rakyat serta membangunkan Sabah dapat dilaksanakan,” katanya.

Bagi anggota Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Mojilip pelantikan presiden Warisan itu akan membawa Sabah ke satu era pentadbiran yang lebih efisien dan berdaya maju.

Katanya, pelantikan itu sekali gus seiring dengan kemahuan rakyat untuk melihat Mohd Shafie mengetuai pembangunan penduduk dan negeri ini.

Menurutnya, Mohd Shafie terkenal sebagai seorang yang bekerja keras untuk rakyat serta negeri.

Setiausaha Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS), Mohd Zaki Harry Susanto turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Shafie dan berharap pelantikan itu mampu membawa Sabah ke arah lebih maju sekali gus memberi manfaat kepada rakyat khusus masyarakat di Pantai Timur Sabah.

“Sebagai anak jati daerah Semporna, kita yakin beliau tidak akan hanya memberikan fokus kepada aspek pembangunan malah akan turut menumpukan perhatian kepada usaha mengekalkan keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah,” katanya.

Seorang pemerhati politik pendalaman Sabah, Edward Kandok pula berkata pelantikan Mohd Shafie adalah tepat dan wajar disokong rakyat Sabah.

Beliau berkata ini kerana gabungan parti pimpinan parti Warisan Sabah telah memperolehi kerusi yang mencukupi seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan.

“Dalam mana mana negara yang mengamalkan demokrasi apabila sesebuah parti atau gabungan parti telah memperolehi majoriti maka pemimpin parti itu sewajarnya diberi peluang untuk dilantik sebagai ketua menteri dan menubuhkan kerajaan,” katanya,

Edward berharap Mohd Shafie, yang amat berpengalaman dalam bidang pentadbiran negara, dapat mentadbir negeri dengan baik dan membela nasib rakyat Sabah tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

 

 

Related Articles

Leave a Reply