Home Politik Jangan buat fitnah – Zahid Hamidi

Jangan buat fitnah – Zahid Hamidi

by Noor Sheila Amin

Bagan Datuk, 8 Mei – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pembangkang supaya jangan memecahbelahkan masyarakat dengan melemparkan fitnah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis kononnya dua agensi itu membuka peti undi pengundian awal pada 5 Mei lalu.

Beliau berkata, pembangkang membuat fitnah di Hutan Melintang kononnya terdapat dua daripada empat peti undi pada hari pengundian awal di Hutan Melintang sudah dibuka SPR.

“Jangan cuba buat fitnah dalam perkara ini, dia juga (Manivanan) mendakwa kereta saya masuk ke balai polis kononnya disambut baik, kononnya saya yang mengarahkan, …jangan buat fitnah, tunggu akibatnya daripada siasatan dijalankan (polis).

“Polis dan SPR tahu peraturan bahawa peti undi itu tidak boleh dibuka dan ia hanya boleh dibuka selepas tamat hari pengundian pada 9 Mei, ..itu pun sebagai peti yang terakhir dibuka.

“Saya ingin menyatakan bahawa saya dukacita apabila seorang calon DUN (Dewan Undangan Negeri) Hutan Melintang (G Manivanan – PKR) yang kononnya menuduh pihak SPR dan polis membuka peti undi pengundi awal tentera dan polis pada 5 Mei.

“Saya ingin memberitahu Manivanan, kalau pengundi Kapar telah menolak beliau, kalau parti sendiri menolak beliau sebagai calon Parlimen Kapar dan meletakkan beliau sebagai pengundi luar di DUN Hutan Melintang, jangan rosakkan masyarakat di Bagan Datuk dengan memecahbelahkan masyarakat Bagan Datuk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program `Back2School:Pelestarian Kebun’ anjuran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (YKMAM) di Sekolah Kebangsaan Sungai Nipah, di sini hari ini.

Yang hadir sama, EXCO Kerajaan Negeri yang juga calon kerusi DUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latiff Mohmod.

Related Articles

Leave a Reply