Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Sebab utama Pas tolak Amanah -Abdul Hadi

Sebab utama Pas tolak Amanah -Abdul Hadi

by Nurulhuda

POKOK SENA, 14 Apr – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan sebab utama parti itu tidak boleh bekerjasama dengan Amanah, yang sebahagian besar pemimpinnya adalah bekas ahli Pas.

Menurut beliau, bekas pemimpin Pas yang kini menubuhkan Amanah cuba membawa usul meminda perlembagaan Pas, bagi mengurangkan peranan Majlis Syura Ulamak sebagai badan tertinggi parti kepada badan penasihat.

Menurutnya, cadangan itu cuba dijadikan usul dalam Muktamar 2015 dan mendapat bantahan akar umbi termasuk ditolak dalam mesyuarat Pusat kerana ia bercanggah dengan perlembagaan Pas.

“Sebab itu kita tolak kerjasama dengan Amanah. Ini pertama kali saya dedahkan, dia nak ubah perlembagaan parti, sedangkan Majlis Syura Ulamak adalah badan teratas untuk buat keputusan muktamad. Ini menyebabkan ahli Pas menolak, dan selepas ditolak, dia tubuh parti baharu,” katanya, pada sidang media, selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas kawasan Pokok Sena ke 41, di Kompleks Pas Pokok Sena, hari ini.

Abdul Hadi berkata, tujuan cubaan meminda perlembagaan parti itu adalah bagi memudahkan kerjasama dengan parti lain khususnya DAP.

“Mana boleh kurangkan kuasa yang diberikan kepada Majlis Syura, ia adalah hukum tertinggi dalam perlembagaan Pas, yang kita rujuk kepada al-Quran, hadis termasuk golongan ulama. Asas perlembagaan itu jelas bercanggah,” katanya.

Menurutnya, tiada sebarang tindakan disiplin mahupun pemecatan dilakukan selepas insiden itu, kerana Pas berpegang kepada prinsip demokrasi sebenar.

“Kita pilih secara demokrasi melalui Muktamar dan siapa yang bertanding. Disebabkan cadangan itu ditolak dalam mesyuarat, maka tidak dibawa sebagai usul,” katanya.

Abdul Hadi berkata, pihaknya bersyukur kerana pihak terlibat kini sudah tiada dalam parti itu.

“Tak perlu dedah nama, mereka yang bawa cadangan itu tiada dalam Pas lagi. Mereka adalah pemimpin Amanah yang keluar Pas,” katanya.

Menurutnya, cubaan itu dilihat untuk menyamakan Pas dengan sebuah parti di Turki, yang menolak Islam dalam perlembagaan negara itu.

“Dalam perlembagaan di sana, tak benarkan parti Islam, sebut dalam politik pun tak boleh. Kita bukan macam itu,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply